Followers

Friday 12 August 2011

Haram Hobi Memancing Ikan?

Ada beberapa teman saya mengatakan memancing itu adalah haram. Pada mereka umpan hidup yang digunakan untuk mendapatkan hasil tangkapan melalui memancing dikira menyiksa binatang tersebut. Ini kerana umpan tersebut disangkut hidup-hidup di mata kail yang tajam. Dan ada juga mengatakan mata kail yang tajam dan bercangkuk itu menyiksa ikan itu ketika mencabutnya dari mulut ikan.


Ikan dan seluruh haiwan di bumi ini diperuntukkan Allah S.W.T untuk kita manfaatkan samada melalui daging, susu, tenaga dan sebagainya untuk dijadikan makanan atau dijadikan peliharaan untuk kegiatan harian. Maka untuk mendapatkan haiwan-haiwan ini dan memanfaatnya, aktiviti memburu dijalankan termasuklah mendapatkan ikan. Cuma kaedah berbeza kerana ikan perlu dipancing atau menggunakan pukat atau sebagainya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud "Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan laut, selama kamu dalam ihram dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan" (Al Maidah: 96)


Dan kaedah untuk mematikan haiwan buruan juga adalah berbeza. Ikan tidak perlu disembelih kerana secara hakikatnya ikan yang keluar dari habitatnya akan mati tidak kira lama atau sekejap.  Kita tidak disyariatkan untuk menyembelih ikan tetapi diwajibkan keatas haiwan buruan atau ternakan yang lain seperti rusa dan sebagainya dengan cara penyembelihan yang tepat supaya tidak menyiksa binatang itu. 

Maka pemancing tidak dianggap kejam, menyiksakan binatang mahupun dikatakan haram dan berdosa. Ini adalah kerana secara dasarnya pemancing menangkap ikan adalah untuk memanfaatkan dengan mendapatkan sumber protein dan makanan. 


Dan secara umumnya memancing itu adalah aktiviti yang boleh merapatkan silaturahim dan memupuk keharmonian bersama ahli keluarga, teman-teman mungkin juga bersama jiran tetangga. Dimana hasil tangkapan dikongsi bersama selain hobi memancing itu sendiri mampu memberikan ketenangan dan melatih si pemancing agar bersabar. Bukankah itu dituntut Islam dalam diri kita? 


Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada niat pemancing. Jika ia sekadar untuk membuang masa dan terlalu asyik sehingga mengabaikan pekerjaan yang wajib seperti abaikan solat kerana terlalu lama dan asik memancing, lupa akan tanggungjawab kepada ahli keluarganya, serta menjadikan memancing sebagai taruhan (berjudi) maka ia boleh jatuh ke tahap itu.   


Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: " Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".


Wallahuallam...

No comments:

Post a Comment