Followers

Thursday 28 November 2013

Hasad Dengki Merosakkan Cahaya Hati

Allah berfirman yang bermaksud "Katakanlah wahai Muhammad; "Aku berlindung kepada  (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan, dan dari bahaya gelap apabila ia masuk, dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan), dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya" Al-Falaq (Ayat 1-5)

Pernah dengar hasad dengki ada kempen seperti penyakit-penyakit lain? Tidak ada betul? Kita ingin hidup serba cantik, serba sempurna sehingga kadangkala lebih takut parut di muka, garis berkedut berbanding hati yang diselubungi penyakit mazmumah. Sedangkan hati jika dijaga cantik sempurna, maka akan terpantullah cahaya kecantikan dari hati ke wajah kita. Tidak perlu keluarkan duit beribu untuk mencantikkan hati hanya perlu menjaga hati dari penyakit mazmumah. Senang tetapi sukar dibuat. 

Mereka yang mempunyai sifat hasad sebenarnya tersiksa jiwa batin kerana terlalu memikirkan apakah yang tindakan selanjutnya untuk menyakiti hati orang lain. Kehidupannya yang seharusnya indah tetapi tersiksa dan terlalu tertekan kerana hasad terhadap kehidupan indah orang lain. Hatinya tidak pernah tenang dan stabil.

Jiwa memberontak dan sifat marah menguasai diri mereka jika orang lain mendapat nikmat dari Allah. Tetapi mereka akan puas hati dan bersorak seperti kera yang mendapat bunga apabila orang yang disakiti itu termakan hasad mereka. 

Dan setuju atau tidak saya katakan hakikatnya mereka ini melawan takdir dan keputusan Allah SWT. Mereka secara tidak langsung telah mempertikaikan kebijaksanaan dan kasih sayang Allah dalam memberikan nikmat kepada hamba-Nya. Mereka rasakan terlalu bijak dan adil dalam memberikan serta menentukan nikmat kepada manusia. Betul tak?

Dan saya kategorikan mereka sebagai "mental disorder" yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang orang-orang berhampiran dengan mereka. Sungguh merugikan diri sendiri kerana mereka merosakkan cahaya hati mereka sendiri. Bukan itu sahaja malah mereka ini selama-lamanya tidak akan sempurna imannya kerana bersifat kebencian dan sikap bermusuh-musuhan sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencitai dirinya" (Muttafaq 'alaih)

Sifat hasad ini seperti kanser hati yang merebak secara senyap tanpa kita sedari. Dan ia akan semakin parah jika sudah mencapai tahap ke-4. Jika tahapnya semakin parah, tidak mustahil mereka melibatkan agama pula; iaitu SYIRIK! Nauzubillah. Mereka ini sudah tidak takut pada hari kematian kerana berterusan melakukan hasad dan hati mereka semakin jauh menyimpang terhadap kebesaran Allah SWT. 

Dan sebaik-baik ubat untuk penyakit hati ini adalah bertaubat dan mengingati mati. Insyallah ia akan melunturkan dan memadamkan sedikit demi sedikit sifat hasad dalam hati. Perbanyakkanlah berzikir jika dihati terlintas hasad terhadap orang lain. 

Amalkan doa ini setiap kali sembahyang insyallah hati kita akan terhindar dari sifat-sifat mazmumah. 

Doa menghakis sifat hasad: 
Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau wujudkan perasaan hasad dengki dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.' (Surah Al-Hasyri ayat 10)



Wednesday 20 February 2013

Diam seperti Singa, menyalak seperti Anjing.


Lain orang lain pandangannya. Rambut sahaja sama hitam tetapi tidak semua kata-kata dan pendapat kita boleh diterima orang kerana berbeza-beza pendapat tidak kira pendapat itu fakta atau tidak. Perbezaan pendapat ini bukan perkara baru tetapi memang telah wujud sejak zaman para sahabat lagi kerana manusia dilahirkan dengan akal fikiran yang bebas untuk berfikir dan memberikan pendapat. Tetapi biarlah kena cara teguran jangan diputarbelitkan fakta yang betul hanya kerana kita terlalu mengikutkan emosi. Pasti nanti akan menampakkan kejahilan kita kelak.

Adakala perkara yang betul dan fakta suka diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan perbalahan dan fitnah. Kita pula akan rasa panas hati, bengang, marah, benci dan sebagainya kerana mereka bertelagah menegakkan pendapat masing-masing. Cuba kita boleh gunakan cara dari Imam Syafi'i dan bekas pemimpin Malaysia yang mengamalkan konsep yang sama dalam mengatasi perbalahan terutama dengan mereka yang bertelagah kerana emosi.

Imam Syafi’I berkata :

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, karena orang yang jahil itu pasti tidak pernah faham landasan ilmu.”

Bagaimana melayani orang-orang jahil,…
Imam Syafi’I berkata : “ Apabila orang-orang bodoh mengajak bertelagah dengan anda, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak perlu melayaninya.

“ Apabila anda melayani, maka anda akan susah sendiri. Dan bila anda berteman dengannya, maka ia akan selalu menyakitkan hati.. "

“Apabila ada orang berkata kepadaku, Jika diserang oleh musuh, apakah anda diam? Jawabku kepadanya…”sesungguhnya untuk menepis pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya.”

“Sikap diam terhadap orang yang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan"

“Apakah seekor singa itu digeruni kerana sifatnya yang pendiam lantaran ia pendiam, tetapi seekor anjing sentiasa dibuat permainan kerana sifatnya yang suka menggonggong." 

Begitu juga dengan cara Tun Dr. Mahathir Muhammad. Katanya, "Ada masa diam itu perlu, ada masa bicara itu perlu, tetapi kita seharusnya guna akal fikiran terlebih dahulu bila perlunya diam dan bicara kerana dua perkara tersebut akan beri kesan dan persepsi yg berlainan terhadap si penerima"

Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 63:

"dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka hanya mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan." 

Semoga dapat dimanfaatkan bersama.



Wednesday 23 January 2013

Penyakit hati


Ramai antara kita tidak kira tinggi atau rendah agamanya,besar atau kecil pangkatnya masih terlalu memandang remeh terhadap kebersihan hati, tidak merasa reda dengan ketetapan qadar dan akhirnya penyakit hati melarat sehingga cenderung terhadap kesenangan orang lain. Sifat hasad, iri hati, dendam tidak akan pernah lekang dari manusia termasuk golongan ulama,golongan bangsawan, golongan cendikiawan. Semuanya gara-gara terlalu cintakan keduniaan.

Lihat sahaja apabila pakaian kita terkena najis, kita merasakan diri kita kotor dan berbau busuk. Terlalu mengambil berat najis yang terkena dipakaian kita tetapi tidak sedar kita masih mengamalkan perangai-perangai yang dilarang oleh Allah. Bergelumang dengan sifat hasad, ujud dan cinta dunia yang terlalu keterlaluan.  Akhirnya ketenangan tidak diperolehi.

Seseorang pernah bertanya kepada Ibnul Jauzy “Manakah yang lebih baik untukku: bertasbih atau beristigfar?Jawapan beliau ”Pakaian yang kotor lebih memerlukan sabun dari wangi-wangian.” Dengan kata erti lain, dalam memperhiasi diri kita dengan pelbagai barangan-barangan berjenama,solekan tebal,aksesori mewah, tetapi hati kita masih hidup dengan sifat dengki,iri hati dan cinta keduniaan, air muka kita tidak akan cantik dan kehidupan tidak akan tenang. Penyakit hati yang semakin parah ditutupkan dengan harta dunia. 

Kita merasakan kesenangan dunia, kekayaan, penghormatan, adalah nikmat dan ketenangan jiwa. Zahirnya memang kita tersenyum tetapi hati sentiasa gelisah memikirkan untuk mencari dan menambah harta dunia. Terlalu asyik dan berlumba-lumba sesama sendiri memikirkan untuk memenuhi keperluan nafsu sehingga sanggup menjatuhkan kawan-kawan yang lain.

Sebenarnya jika kita lihat dengan mata hati kita, kesenangan, penghormatan dan kekayaan dunia ini telah banyak merosakkan jiwa kita. Kerana terlalu asyik mencari dan memenuhi keperluan nafsu dunia, kita lupa tanggungjawab kita terhadap Allah.  Lupa mengucap syukur melalui amalan-amalan kita terhadap nikmat yang diberikan kepada kita.  Semakin kita berjaya dan berkuasa semakin kita lupa mensyukuri nikmat yang kita telah terima. 

Sebenarnya kesenangan yang kita perolehi adalah perangkap hati yang merbahaya.Ia adalah perangkap yang telah memperdayakan hati dengan membiarkan nafsu mengawal akal fikiran maka kita akan mula ingkar terhadap ketentuan dan mengadili semua dugaan yang Allah berikan.  

Ada yang mengatakan “Dia sembahyang tidak tinggal tetapi tetap miskin, tetapi aku tidak sembahyang pun boleh kaya raya” , ada pula yang kata dengan bangga “Aku tidak berzakat tetapi ada sahaja duit masuk, orang lain berzakat rezeki satu sen nak masuk pun susah, jadi kenapa aku perlu kongsi harta aku dengan orang lain melalui zakat”. 

Begitulah kesenangan yang bercampur dengan hasutan syaitan yang telah  memperdayakan kita untuk lebih jauh dari-Nya. Akal fikiran telah dikawal sepenuhnya oleh nafsu. Kesenangan yang diberikan oleh-Nya juga merupakan dugaan tanpa kita sedari.  

Pelbagai bentuk dugaan diberikan untuk memberikan laluan kita mendekatkan diri dan mensyukuri nikmat yang diberi. Tidak kira  samada dugaan itu dari segi kesenangan ataupun kesulitan.  Sekiranya kita leka maka kita akan lebih mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

Kata-kata ini mengingatkan saya pula kepada seorang ustaz ketika mengikuti satu majlis dimasjid. Katanya semakin tinggi dan dekat kita terhadap Allah semakin hebat dugaan yang kita lalui.Pilihan itu terletak kepada diri kita. 

Memang benar kata para ulama, semasa kita cuba membersihkan hati kita, Allah akan memberi dugaan yang terlalu hebat. Ini adalah kerana Dia ingin kita semakin mengingatinya melalui doa-doa kepadanya. Allah juga menghapuskan dosa-dosa kecil dan sifat-sifat yang kotor dalam diri kita melalui dugaan yang diberikan.

Semakin dekat diri kita ke jalan Allah semakin kuat dugaan kita lalui. Jika kita tidak dapat menahan dugaan,kita akan semakin terpesong jauh. Maka ia harus selalu berusaha mengawal diri dalam setiap amalannya. 

Ketika kita diduga ketika mencari keredaan Allah, menjadi lumrah diri akan berada keadaan kebingungan dan tidak berdaya. Teman semakin jauh dan diri mula merasakan panas dan tidak sabar. Ketika ini hasutan syaitan akan mula memainkan peranan.  Kita akan mula terfikir jika tidak bertaubat atau mendekatkan diri kepada Allah kita tidak akan diduga sehebat begini.  

Sebaliknya jika kita leka dan bersahaja, segala permintaan kita akan dapat kita penuhi.  Kita ramai teman bersuka tanpa perlu menghadapi pelbagai dugaan dan suka duka. Diri pula tidak akan diduga sehebat begini. Lantas, kita akan mula mengadili ketentuan Allah dan hati mula terpesong mengikut kehendak syaitan. Maka syaitan akan meraikan kemenangan kerana kita akan semakin terpesong.

Kita diberikan akal yang sempurna untuk berfikir. Sudah menjadi tanggungjawab akal dibebankan untuk memikirkan segala rahsia dugaan tersebut. Carilah rahsia terhadap dugaan yang kita lalui, kita pasti akan redha dan tawakal terhadap kekuasaan Allah.  

Apabila kita memahaminya, kita akan selamat, menerimanya dengan lapang hati serta tidak akan terus terjerumus dengan hasutan syaitan. Segala sifat-sifat kotor dalam diri kita akan mula diperbaiki satu persatu. Hati kita pula mula dibersihkan sedikit demi sedikit melalui amalan yang ikhlas. Lidah kita akan mula terbiasa dengan zikir-zikir Allah.

Rasulullah SAW sendiri mengatakan:

"Orang yang selalu istighfar, Allah akan hilangkan keresahan yg dia rasakan, melapangkan kesempitan yag menimpanya dan akan berikan rezekinya tanpa dia sangkakan." ( HR Baihaqi)

Janji Allah pula. Firmannya:

"maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,  niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan [pula di dalamnya] untukmu sungai-sungai . (Surah Nuh Ayat 10-12.)
Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang senang didunia tetapi tersiksa disana nanti.
Ingatlah terdapat bahaya dalam kesenangan dan kemewahan tetapi terlindung kebahagiaan dalam setiap dugaan. Besederhanalah dalam hidup supaya hati kita tenang didunia dan disana nanti.