Followers

Friday 3 February 2012

Harta Express Harta Free

Firman Allah, Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”

“Saya tak gila harta tapi saya mahukan hak saya kerana itu semua hasil dari titik peluh saya,” tegas Rima setelah semua hartanya diambil oleh bekas suaminya.  

Bahrin menjawab “aku lebih berhak kerana aku adalah bekas ketua keluarga dan semasa menjadi suami kau tanggungjawab aku adalah mencari rezeki”.  Bahrin berkeras dan menafikan hak terhadap harta yang dikumpul oleh Rima semasa menjadi isterinya.

“Saya akan pastikan awak tidak dapat semua harta ini dan kita bertemu di mahkamah,” amaran Bahrin terhadap Rima.

Itulah yang selalu kita dengar. Harta ekspress, harta free siapa yang tidak mahu. Semuanya tidak perlu keluarkan duit, tidak perlu penjamin, tidak perlu pinjaman, tidak perlu memeningkan kepala dan sebagainya

Ada pula yang boleh berbangga dan bermegah-megah dengan hasil titik peluh orang lain. Pada mereka bukan orang tahu pun itu bukan hartanya. Yang penting semua menjadi kepunyaan mereka dalam sekelip mata tanpa melalui susah payah mendapatkannya.

Tak kurang juga ada yang sanggup bermusuhan kerana perebutan harta. Tali persaudaraan diputuskan, ada pula yang sanggup menggunakan perkara-perkara syirik sebagai jalan pintas dek gara-gara ghairah tamakkan harta dan wang ringgit.  Mereka seakan alpa tentang halal haram.

Justeru itu, untuk menjamin pemilikan harta secara adil dan saksama Islam telah menggariskan hukum sebagai panduan tentang semua jenis pembahagian harta. Dan saya ingin berkongsi serba sedikit tentang pemilikan harta yang dinyatakan dalam Qura'an:
1.    Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29,  yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri”. Ayat ini menerangkan bahawa Islam mengharamkan pengambilan dan memakan harta orang lain dengan secara batil.
2.   Islam mengharamkan kita mendapatkan harta tanpa mengikut hukum syarie seperti merampas, meragut, mencuri dan sebagainya
3.   Untuk mencegah dan menghalang ‘pencerobohan’ terhadap harta hak milik orang  lain, Islam telah menetapkan hukuman balasan atau seksaan yang setimpal dengan kesalahan (uqubat). Contohnya mencuri harta orang lain akan dijatuhkan hukuman potong tangan. 

Seperti yang terkandung dalam Surah Al-Maidah ayat 38 yang bermaksud: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potong lah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah.”

 
4.   Bagi urusan jual beli, Islam menggariskan segala tatacara akad muamalat seperti rukun, syarat dan hukum urusan jual beli yang terkandung dengan jelas dari segenap aspek. Asas jual beli akan sah sekiranya kedua-dua belah pihak redha dan ikhlas.  

Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya jual beli hanya sah dengan cara suka sama suka (antara penjual dan pembeli)

5.      Dalam pada itu juga, para ulama dan fuqaha sangat memainkan peranannya yang amat penting dalam melakukan kajian, penelitian dalam membahaskan semua jenis akad yang umum, sama ada dalam perihal jual beli, upah, gadaian, syarikat dan semua perkara yang berkaitan muamalat dan akad kontrak.
Kesimpulannya, fikir dulu sebelum anda mendapatkan harta ekspress dan harta free. Sudah terbukti jelas bahawa Islam mengharamkan kita mendapatkan harta yang bukan seharusnya milik kita.  Kalau tak dapat balasan didunia nantikan diakhirat la yer…
Wallahuallam…