Followers

Friday 12 August 2011

Haram Hobi Memancing Ikan?

Ada beberapa teman saya mengatakan memancing itu adalah haram. Pada mereka umpan hidup yang digunakan untuk mendapatkan hasil tangkapan melalui memancing dikira menyiksa binatang tersebut. Ini kerana umpan tersebut disangkut hidup-hidup di mata kail yang tajam. Dan ada juga mengatakan mata kail yang tajam dan bercangkuk itu menyiksa ikan itu ketika mencabutnya dari mulut ikan.


Ikan dan seluruh haiwan di bumi ini diperuntukkan Allah S.W.T untuk kita manfaatkan samada melalui daging, susu, tenaga dan sebagainya untuk dijadikan makanan atau dijadikan peliharaan untuk kegiatan harian. Maka untuk mendapatkan haiwan-haiwan ini dan memanfaatnya, aktiviti memburu dijalankan termasuklah mendapatkan ikan. Cuma kaedah berbeza kerana ikan perlu dipancing atau menggunakan pukat atau sebagainya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud "Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan laut, selama kamu dalam ihram dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan" (Al Maidah: 96)


Dan kaedah untuk mematikan haiwan buruan juga adalah berbeza. Ikan tidak perlu disembelih kerana secara hakikatnya ikan yang keluar dari habitatnya akan mati tidak kira lama atau sekejap.  Kita tidak disyariatkan untuk menyembelih ikan tetapi diwajibkan keatas haiwan buruan atau ternakan yang lain seperti rusa dan sebagainya dengan cara penyembelihan yang tepat supaya tidak menyiksa binatang itu. 

Maka pemancing tidak dianggap kejam, menyiksakan binatang mahupun dikatakan haram dan berdosa. Ini adalah kerana secara dasarnya pemancing menangkap ikan adalah untuk memanfaatkan dengan mendapatkan sumber protein dan makanan. 


Dan secara umumnya memancing itu adalah aktiviti yang boleh merapatkan silaturahim dan memupuk keharmonian bersama ahli keluarga, teman-teman mungkin juga bersama jiran tetangga. Dimana hasil tangkapan dikongsi bersama selain hobi memancing itu sendiri mampu memberikan ketenangan dan melatih si pemancing agar bersabar. Bukankah itu dituntut Islam dalam diri kita? 


Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada niat pemancing. Jika ia sekadar untuk membuang masa dan terlalu asyik sehingga mengabaikan pekerjaan yang wajib seperti abaikan solat kerana terlalu lama dan asik memancing, lupa akan tanggungjawab kepada ahli keluarganya, serta menjadikan memancing sebagai taruhan (berjudi) maka ia boleh jatuh ke tahap itu.   


Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: " Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".


Wallahuallam...

Wednesday 10 August 2011

Petai Untuk Kesihatan

Orang dahulu sering mengambil ulam sebagai sayuran dalam menu hidangan mereka. Pada mereka, khasiat ulam dapat dikekalkan dan tidak tercemar kerana tidak perlu dimasak untuk dijadikan santapan. Dan ulam juga dikaitrapatkan dengan kesihatan.

Begitu juga dengan petai yang selalu dijadikan ulam dalam menu santapan. Ada juga dijadikan jeruk ataupun campuran dalam masakan seperti sambal petai udang. Meskipun petai menghasilkan bau kepada si pemakannya, tapi khasiat petai amat berguna kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, anemia, dan kegemukkan. 

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain. Selain itu juga ia mengandungi klorofil, kalium, karborhidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2, B6, B12, dan C serta Tryptohan.

Khasiat untuk pengamalnya: 

Agen antioksidan: 
Kandungan klorofil dalam biji petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit dan mampu memperbaiki sistem penghadaman bagi pengamalnya. 

Mengurangkan masalah darah tinggi dan strok: 
Kandungan kalium dalam petai dengan kandungan rendah garamnya sesuai untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan secara tidak langsung ia boleh mengurangi risiko strok

Mengatasi anemia: 
Bagi mereka yang mengalami anemia, kandungan zat besi dalam petai mampu mengatasi masalah mereka. 

Mengurangkan masalah kencing manis: 
Kandungan Vitamin B6 dalam petai dapat membantu mengawal paras gula dalam darah untuk pesakit kencing manis.

Kemurungan:  
Petai juga mengandungi Trytophan, yang mampu mengawal tekanan seseorang, trytophan dapat bertukar kepada serotonin dimana dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil.

Sembelit:  
Petai mengandungi serat tumbuhan yang baik bagi penghadaman dan dapat mengelakkan gejala sembelit dari mudah berlaku

Mabuk: 
Ada petua yang menyatakan dan dipercayai bahawa adunan petai bersama susu dan madu dapat mengurangkan masalah mabuk, kerana herba petai, madu dan susu dapat memperbaiki aras glukosa dan mengembalikan aras cecair badan ke tahap seimbang

PMS:  
Khasiat vitamin B6 dalam petai juga membantu wanita yang mengalami kebingungan tatkal mendapat sindrom premenstrual.

Gigitan nyamuk: 
Petua orang lama ada mengatakan bahawa kulit papan petai yang dibahagian licin dalam poket biji petai juga boleh digunakan untuk merawat gigitan nyamuk. Kulit papan petai tersebut boleh disapukan pada bahagian bengkak atau kemerahan-merahan di kulit disebabkan oleh gigitan nyamuk.

Perokok: 
Kandungan Vitamin B6 dan B12 serta kalium dan magnesium dapat membantu dalam mengatasi kesan langsung akibat pemberhentian pengambilan nikotin oleh para perokok. 


Bagaimana? Yang mengalami masalah kesihatan mungkin boleh mencuba. Yang buruk dan pahit itu penawar. 

Friday 5 August 2011

Anak Syurga Dunia


Penat lelah seharian hilang setelah melihat senyuman si anak yang masih bertatih jalan lagi. Rumahku adalah syurgaku kerana adanya si anak penglipur lara. Kehadiran si anak memberikan ruang rezeki padaku dan menyedarkan aku tentang nikmat hidup serta tanggungjawab.

Namun ada diantara mereka sering mentafsirkan si anak adalah beban dalam melaksanakan kerja-kerja seharian. Pelik tapi itulah dunia sekarang. 

Ada yang merungut letih ke hulu hilir melayani kerenah anak-anak, ada yang marah bila si anak bergurau senda, dan ada pula yang melepaskan tekanan terhadap si anak kerana pulang dengan kecewa apabila kehendak dan keinginan mereka tidak tercapai.

Kata-kata dan keinginan serta janji sebelum dan selepas dikurniakan anak ternyata berbeza. Sebelum dikurniakan, terlalu menantikan kehadiran si anak. Tapi selepas dikurniakan, sekejap sahaja belaiannya.  

Setelah usia anak mula meningkat segalanya diabaikan. Segalanya alasan diberikan bila si anak memerlukan belaian kasih dan sayang. Silap kata padahlah si anak dapat. Pejabat dan aktiviti sosial dijadikan alasan perlukan ketenangan dan privasi. Rumah menjadi tempat tidur gara-gara kerenah si anak yang sudah pandai bermain-main. 

Mulalah salahkan si isteri kerana tidak pandai mendidik anak. Si anak pula mendapat hadiah 'herdikan dan pukulan' kerana dikatakan tidak menyusahkan serta tidak memberikan ketenangan. Rumah seakan neraka dirasakannya.

Persoalannya:

Anak merupakan anugerah kurniaan Allah dan secara fitrahnya pasangan yang sudah berumahtangga berhajatnya. Mereka sentiasa menginginkan dan mengharapkan kurniaan ini. 

Dan dalam dalam apa jua agama pun memahami betapa bernilainya kurniaan ini. Akan tetapi segelintir mereka yang tidak memahami kurniaan dan tanggungjawab ini, maka peranan tidak dapat dilaksanakan dan anak-anak tidak mendapat hak kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. 


1. Mahukan anak, sudah diberi, tapi kenapa pula tidak dihargai?

2. Apakah tugas mendidik anak itu adalah tanggungjawab si isteri semata-mata? Bagaimana pula tugas mencari rezeki, kerana zaman sekarang terlalu sedikit si isteri yang tidak keluar bekerja kalau tidak ke pejabat pasti bekerja secara 'online'?

3. Apakah si anak yang umurnya baru tidak sampai setahun jagung tahu tentang hidup; mereka dibanting, didera, dipijak kerana semua tekanan hidup yang dihadapi si bapa?

Adakah anda tergolong antara mereka yang tidak tahu menilai kurniaan ini?