Followers

Friday 28 September 2012

Dendam yang merugikan

Bicara santai tentang manusia dan dendam:

Gembira kerana dendam sudah terbayar. Tetapi kemenangan yang dilihat pada zahir adalah  kekalahan pada batinnya.


Pernahkah kita terfikir perlukah kita membalas semula segala kejahatan dan dendam yang orang lain lakukan kepada kita semata-mata dendam?

Kita mengatakan mereka jahat, kita mengatakan mereka perosak maruah, mereka tabur fitnah dan sebarkan aib kita. Dan kerana itu harus membalas balik tidak kira dalam bentuk apa juga perbuatan agar dendam terbalas. Kita nilaikan mereka jahat, tetapi kita melakukan perkara yang sama. 

Cuba cari apa beza kita dengan mereka?

1. kita manusia mereka juga manusia,
2. kita punya hati dan perasaan, mereka pun ada
3. kita melakukan silap mereka juga ada kesilapan
4. kita ingin disayangi dan menyayangi, mereka pun nak perkara yang sama macam kita
5. kita punya sejarah hitam, mereka juga punya kisah silam
6. kita sakit, mereka pun sakit juga
7. kita tidak pernah lekang dengan dosa walau sekecil hama, mereka pun sama juga.

Jadi di mana beza kita dengan mereka?  Bezanya cara mereka dan cara kita mengendalikan dendam. Adakah kita sama dengan mereka? Mereka tergolong dalam golongan yang merugikan, kita pula?

Mereka boleh hina, boleh hentam kita apa saja dengan kata-kata mereka, mereka boleh khianat kita jika mereka tak suka pada kita, mereka boleh buat apa saja kepada kita.  Ya, siapa kata hati tak sakit, kita tidak menangis kerana perbuatan mereka, kita tidak kecewa dengan perbuatan mereka. tapi perlukah kita rendahkan diri kita seperti mereka dengan membalas sehingga dendam terbayar?

Perasan atau tidak, perasaan dendam adalah satu kerugian. Apa sebenarnya yang kita dapat?


1. Kepuasan? Puas selepas kita juga dapat dosa dan maruah kita serendah mereka?

2. Kemenangan? Memang menang sekarang, tapi kita kalah di hari perhitungan nanti, kalau cepat pun kita   akan dapat 'cash on delivery' di dunia..

3. Kebebasan? Bebas ke sedangkan hati kita masih dalam kongkongan hasutan syaitan.

4. Hati tenang? Tenang ke hati kita jika kita asyik fikir strategi untuk membalas dan ingin tau kesudahannya? selagi tidak kena atau tidak puas selagi itulah kita akan membalas. Hati semakin hitam dan silap-silap terlibat dengan kes polis. Tenangkan nanti dah masuk kes polis?

5. Kita kata mereka jahat? Tapi apa beza kita dengan mereka. kita pun lakukan perkara yang sama mereka lakukan. Mereka dapat dosa, kita pun dapat dosa. Bukan pahala kan?


Kesimpulannya, kerana dendam hati kita tidak tenang, kerana dendam kita tidak pernah rasa erti kesyukuran, kerana dendam hati kita semakin kotor, kerana dendam juga kita semakin jauh dengan Allah tetapi bersahabat karib dengan syaitan, kerana dendam kita juga akan mendapat balasan di dunia dan akhirat nanti.

Siapa yang rugi? Anda ingin berada dalam kerugian?


 

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara agama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu. (Ayat 17 Surah AL Jatsiyah)

Thursday 31 May 2012

Dapatkan Hak Anda Jika Di Pecat Tanpa Alasan!

Apa itu Pemecatan Kerja Konstruktif (Constructive dismissal): 

  • Pekerja telah di buang kerja tanpa sebab atau alasan yang kukuh. Pekerja tidak menerima sebarang dokumen bertulis mengatakan sebab musabab di buang kerja. 
  • Pekerja yang di larang daripada memasuki premis kerja untuk menjalankan tugas harian oleh pihak majikan
Apakah tindakan anda?

  1. Menghantar surat melalui pos berdaftar (sebagai bukti penghantaran & penerimaan) kepada pihak majikan dari tarikh di buang kerja meminta penjelasan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat tersebut mengapa di buang kerja atau di larang memasuki premis untuk menjalankan tugas harian 
  1. sekiranya pihak majikan tidak membalas secara bertulis selepas 7 hari dari tarikh surat tersebut, maka anda berhak melaporkan hal tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang berhampiran. 
  1. Surat yang di hantar ke majikan beserta kad pengenalan, slip gaji, dan Surat Perlantikan Jawatan hendaklah dibawa bersama ketika membuat laporan di JTK.
Apakah Akta yang membolehkan anda membuat tuntutan faedah anda jika membuat laporan kepada JTK?

Seksyen 69 Akta Kerja 1955:
  • Pekerja yang bergaji tidak melebihi RM2,000 sebulan dan/atau pekerja buruh kasar tanpa had gaji boleh membuat tuntutan di Mahkamah Buruh. 
  • Tuntutan ini melibatkan tuntutan seperti baki gaji, gaji ganti notis, bayaran gaji kerja lebih masa, faedah penamatan serta faedah-faedah lain yang dinyatakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan.

Seksyen 69B Akta Kerja1955 Peruntukan Seksyen 69B:
  • membolehkan pekerja yang berpendapatan melebihi RM2,000 hingga RM5,000 sebulan membuat tuntutan di Mahkamah Buruh. 
  • Tuntutan di bawah Seksyen 69B Akta Kerja 1955 ini kebanyakannya adalah melibatkan baki gaji, gaji ganti notis dan bayaran komisyen atau bayaran-bayaran lain sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak perkhidmatan pekerja.
      Apakah faedah tuntutan yang boleh anda kemukakan kepada majikan anda?

      Anda boleh menuntut faedah-faedah seperti di bawah sekiranya layak:
             1.    Gaji ganti notis
       2.    Faedah penamatan kerja
       3.    Baki cuti rehat
       4.    Baki cuti am
       5.    Baki gaji

Bagaimanakah anda membuat pengiraan pemberhentian?  
      
      di bawah Peraturan Kerja 1980 pengiraan pemberhentian adalah seperti berikut: 

Gaji 12 Bulan

365 Hari
X
Tempoh Perkhidmatan

(Bilangan Tempoh Berkhidmat)
X
Kelayakan cuti tahunan

(10/15/20 Hari Setahun)






      Bilakah anda boleh mendapatkan faedah penamatan daripada pihak majikan anda?
      
     Faedah penamatan kerja hendaklah dibayar selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh anda di     
     tamatkan perkhidmatan.


Jangan Biarkan Diri Anda Di Tindas!

Friday 3 February 2012

Harta Express Harta Free

Firman Allah, Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”

“Saya tak gila harta tapi saya mahukan hak saya kerana itu semua hasil dari titik peluh saya,” tegas Rima setelah semua hartanya diambil oleh bekas suaminya.  

Bahrin menjawab “aku lebih berhak kerana aku adalah bekas ketua keluarga dan semasa menjadi suami kau tanggungjawab aku adalah mencari rezeki”.  Bahrin berkeras dan menafikan hak terhadap harta yang dikumpul oleh Rima semasa menjadi isterinya.

“Saya akan pastikan awak tidak dapat semua harta ini dan kita bertemu di mahkamah,” amaran Bahrin terhadap Rima.

Itulah yang selalu kita dengar. Harta ekspress, harta free siapa yang tidak mahu. Semuanya tidak perlu keluarkan duit, tidak perlu penjamin, tidak perlu pinjaman, tidak perlu memeningkan kepala dan sebagainya

Ada pula yang boleh berbangga dan bermegah-megah dengan hasil titik peluh orang lain. Pada mereka bukan orang tahu pun itu bukan hartanya. Yang penting semua menjadi kepunyaan mereka dalam sekelip mata tanpa melalui susah payah mendapatkannya.

Tak kurang juga ada yang sanggup bermusuhan kerana perebutan harta. Tali persaudaraan diputuskan, ada pula yang sanggup menggunakan perkara-perkara syirik sebagai jalan pintas dek gara-gara ghairah tamakkan harta dan wang ringgit.  Mereka seakan alpa tentang halal haram.

Justeru itu, untuk menjamin pemilikan harta secara adil dan saksama Islam telah menggariskan hukum sebagai panduan tentang semua jenis pembahagian harta. Dan saya ingin berkongsi serba sedikit tentang pemilikan harta yang dinyatakan dalam Qura'an:
1.    Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29,  yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri”. Ayat ini menerangkan bahawa Islam mengharamkan pengambilan dan memakan harta orang lain dengan secara batil.
2.   Islam mengharamkan kita mendapatkan harta tanpa mengikut hukum syarie seperti merampas, meragut, mencuri dan sebagainya
3.   Untuk mencegah dan menghalang ‘pencerobohan’ terhadap harta hak milik orang  lain, Islam telah menetapkan hukuman balasan atau seksaan yang setimpal dengan kesalahan (uqubat). Contohnya mencuri harta orang lain akan dijatuhkan hukuman potong tangan. 

Seperti yang terkandung dalam Surah Al-Maidah ayat 38 yang bermaksud: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potong lah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah.”

 
4.   Bagi urusan jual beli, Islam menggariskan segala tatacara akad muamalat seperti rukun, syarat dan hukum urusan jual beli yang terkandung dengan jelas dari segenap aspek. Asas jual beli akan sah sekiranya kedua-dua belah pihak redha dan ikhlas.  

Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya jual beli hanya sah dengan cara suka sama suka (antara penjual dan pembeli)

5.      Dalam pada itu juga, para ulama dan fuqaha sangat memainkan peranannya yang amat penting dalam melakukan kajian, penelitian dalam membahaskan semua jenis akad yang umum, sama ada dalam perihal jual beli, upah, gadaian, syarikat dan semua perkara yang berkaitan muamalat dan akad kontrak.
Kesimpulannya, fikir dulu sebelum anda mendapatkan harta ekspress dan harta free. Sudah terbukti jelas bahawa Islam mengharamkan kita mendapatkan harta yang bukan seharusnya milik kita.  Kalau tak dapat balasan didunia nantikan diakhirat la yer…
Wallahuallam…

Thursday 26 January 2012

Dia Taubat Kita Tambah Dosa


“Siapalah saya untuk menilaikan sebesar mana dosa yang dilakukan oleh Rani, sedangkan dia manusia dan saya juga manusia. Semua manusia buat silap”, kata Zaini bila Arif mengutuk dan menyebarkan aib teman baiknya Rani.  Arif merasa was-was terhadap teman baiknya bila Rani mula berubah dan mula menghampiri kebaikan.

“Apa salahnya kita berikan dia peluang untuk bertaubat. Dia dalam proses bertaubat sedangkan kita pulak sibuk dok mengata dan menyebarkan aib dia. Kalau difikirkan sebenarnya perangai kita lagi teruk dari dia”, tegur Zaini dan kata-kata beliau membuatkan Arif terdiam dan terfikir.

Zaini berpesan “Lebih baik kita menjaga lidah dan hati kita dari berprasangka buruk dan ada sifat was-was terhadap orang lain, kerana satu was-was yang kita lahirkan untuk orang lain, sepuluh orang akan was-was terhadap kita”. 

Inilah dunia sekarang, gemar memperlekehkan jika ada teman kita ingin berubah dan meninggalkan segala maksiat dan perkara yang tidak sihat.  Segala perkara buruk dan negatif yang pernah dilakukan disebarkan kerana was-was tentang perubahan kepada kebaikan.  Dan orang yang tidak tahu hujung pangkal terus buat kesimpulan yang buruk.

Apa yang anda dapat bila berbuat demikian? Anda memperkatakan dosa-dosa teman anda tadi sedangkan anda sendiri berbuat dosa bila menyebarkan aib beliau kepada teman-teman yang lain  Apa kurangnya anda dengan teman anda? Teman anda tadi dalam proses memperbaiki kesilapannya tapi anda pula menambahkan kesilapan dan dosa diri anda sendiri . 

Bertanyalah Nabi S.A.W kepada mereka  "Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu? 
Lalu mereka menjawab "Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Maka sabda Nabi S.A.W  "iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya".  Kemudian Nabi ditanya : bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi? Rasulullah S.A.W menjawab "Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya ( Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e).

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” Surah al-Hujurat ayat 12.

Renung dan fikirkanlah…

Wednesday 25 January 2012

Lebih Baik Diam Dari Cakap Poyo


1. “Saya tak suka lah tengok perempuan seksi..meluat dan gedik sangat dorang ni”
Tapi bila lalu perempuan seksi aduhai mata terus bersinar-sinar melekat terus pada subjek tersebut.

2. “Aku sayang bini dan anak-anak aku dan aku takkan buat perkara yang akan melukakan hati mereka”  
Tapi kat luar dok sibuk dengan perempuan sana sini sampai lupa mata yang memandang. Masa ni mulalah si mami jarum  dok jahit sana sini pada kain si bini yang terkoyak. 

3. “Saya ni jenis tak suka jaga tepi kain orang lantak pi la dorang nak buat apa pun”.  
Tapi bila ada topik gosip hangat aduh dia lah mulut macam murai cabut ekor. 

4. “Aku tak kisah harta dunia ni, hidup aku biar sederhana cukup pakai minum dan tempat tinggal”. Tapi kerja siang malam cari duit sampai lupa anak bini ada pula yang sampai lupa 'jalan balik rumah'. 

5. “Aku tak kisah la kalau lelaki tak wujud dalam hidup aku” 
Tapi bila boyfriend tak call setengah hari pun dah macam cacing kepanasan dan mula lah fikir yang bukan-bukan. 

6. “Ala saya kalau tak dijemput ke majlis kahwin dia pun saya tak kecil hati sebab saya ada urusan yang lebih penting lagi” 
Tapi sibuk dok jaja dan bertanya pada semua orang kenapa dia tak dijemput padahal dialah rakan baik. 

7. “Ishk mana boleh saya tak hadir, saya kan orang kanan bos dan tugas saya penting dalam majlis perasmian tu, kalau tak datang nanti apa pulak kata bos nanti”  
Padahal bos dia tak bagi apa-apa pun tugas penting, dia je yang sibuk nak datang untuk dapatkan nama.

8. “Aku memang tak boleh hidup tanpa internet, sebab aku perlu cari bahan dalam melalui internet” 
Padahal bukan cari bahan dok sibuk chit chat dan view gambar-gambar tak senonoh.

Ni la dunia sekarang, pandai cakap tapi cakap semua tak serupa bikin. Lain dimulut lain pula yang dibuatnya. Bila orang hentam sikit, dah menggelabah dan mula naik darah. Padahal diri sendiri yang menafikan perbuatan yang tidak disukai tetapi bila dilihat orang lain pula yang dibuatnya.

Kesimpulannya, lebih baik diam dari berkata-kata kerana setiap kata-kata yang dikeluarkan untuk menafikan perbuatan anda akan menjadi senjata kepada musuh.


“Setiap kata-kata diatas hanyalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena-mengena atau menghentam mana-mana pihak. Sekiranya terdapat persamaan atau berkaitan dengan anda, ianya adalah kebetulan sahaja”