Followers

Thursday 26 January 2012

Dia Taubat Kita Tambah Dosa


“Siapalah saya untuk menilaikan sebesar mana dosa yang dilakukan oleh Rani, sedangkan dia manusia dan saya juga manusia. Semua manusia buat silap”, kata Zaini bila Arif mengutuk dan menyebarkan aib teman baiknya Rani.  Arif merasa was-was terhadap teman baiknya bila Rani mula berubah dan mula menghampiri kebaikan.

“Apa salahnya kita berikan dia peluang untuk bertaubat. Dia dalam proses bertaubat sedangkan kita pulak sibuk dok mengata dan menyebarkan aib dia. Kalau difikirkan sebenarnya perangai kita lagi teruk dari dia”, tegur Zaini dan kata-kata beliau membuatkan Arif terdiam dan terfikir.

Zaini berpesan “Lebih baik kita menjaga lidah dan hati kita dari berprasangka buruk dan ada sifat was-was terhadap orang lain, kerana satu was-was yang kita lahirkan untuk orang lain, sepuluh orang akan was-was terhadap kita”. 

Inilah dunia sekarang, gemar memperlekehkan jika ada teman kita ingin berubah dan meninggalkan segala maksiat dan perkara yang tidak sihat.  Segala perkara buruk dan negatif yang pernah dilakukan disebarkan kerana was-was tentang perubahan kepada kebaikan.  Dan orang yang tidak tahu hujung pangkal terus buat kesimpulan yang buruk.

Apa yang anda dapat bila berbuat demikian? Anda memperkatakan dosa-dosa teman anda tadi sedangkan anda sendiri berbuat dosa bila menyebarkan aib beliau kepada teman-teman yang lain  Apa kurangnya anda dengan teman anda? Teman anda tadi dalam proses memperbaiki kesilapannya tapi anda pula menambahkan kesilapan dan dosa diri anda sendiri . 

Bertanyalah Nabi S.A.W kepada mereka  "Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu? 
Lalu mereka menjawab "Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Maka sabda Nabi S.A.W  "iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya".  Kemudian Nabi ditanya : bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi? Rasulullah S.A.W menjawab "Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya ( Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e).

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” Surah al-Hujurat ayat 12.

Renung dan fikirkanlah…

Wednesday 25 January 2012

Lebih Baik Diam Dari Cakap Poyo


1. “Saya tak suka lah tengok perempuan seksi..meluat dan gedik sangat dorang ni”
Tapi bila lalu perempuan seksi aduhai mata terus bersinar-sinar melekat terus pada subjek tersebut.

2. “Aku sayang bini dan anak-anak aku dan aku takkan buat perkara yang akan melukakan hati mereka”  
Tapi kat luar dok sibuk dengan perempuan sana sini sampai lupa mata yang memandang. Masa ni mulalah si mami jarum  dok jahit sana sini pada kain si bini yang terkoyak. 

3. “Saya ni jenis tak suka jaga tepi kain orang lantak pi la dorang nak buat apa pun”.  
Tapi bila ada topik gosip hangat aduh dia lah mulut macam murai cabut ekor. 

4. “Aku tak kisah harta dunia ni, hidup aku biar sederhana cukup pakai minum dan tempat tinggal”. Tapi kerja siang malam cari duit sampai lupa anak bini ada pula yang sampai lupa 'jalan balik rumah'. 

5. “Aku tak kisah la kalau lelaki tak wujud dalam hidup aku” 
Tapi bila boyfriend tak call setengah hari pun dah macam cacing kepanasan dan mula lah fikir yang bukan-bukan. 

6. “Ala saya kalau tak dijemput ke majlis kahwin dia pun saya tak kecil hati sebab saya ada urusan yang lebih penting lagi” 
Tapi sibuk dok jaja dan bertanya pada semua orang kenapa dia tak dijemput padahal dialah rakan baik. 

7. “Ishk mana boleh saya tak hadir, saya kan orang kanan bos dan tugas saya penting dalam majlis perasmian tu, kalau tak datang nanti apa pulak kata bos nanti”  
Padahal bos dia tak bagi apa-apa pun tugas penting, dia je yang sibuk nak datang untuk dapatkan nama.

8. “Aku memang tak boleh hidup tanpa internet, sebab aku perlu cari bahan dalam melalui internet” 
Padahal bukan cari bahan dok sibuk chit chat dan view gambar-gambar tak senonoh.

Ni la dunia sekarang, pandai cakap tapi cakap semua tak serupa bikin. Lain dimulut lain pula yang dibuatnya. Bila orang hentam sikit, dah menggelabah dan mula naik darah. Padahal diri sendiri yang menafikan perbuatan yang tidak disukai tetapi bila dilihat orang lain pula yang dibuatnya.

Kesimpulannya, lebih baik diam dari berkata-kata kerana setiap kata-kata yang dikeluarkan untuk menafikan perbuatan anda akan menjadi senjata kepada musuh.


“Setiap kata-kata diatas hanyalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena-mengena atau menghentam mana-mana pihak. Sekiranya terdapat persamaan atau berkaitan dengan anda, ianya adalah kebetulan sahaja”