Followers

Wednesday 29 June 2011

Koleksi cinta demi kemewahan

Berbuih-buih dinasihatkan agar berubah tapi rakan-rakan pula disalahkan. Teman yang baik dibuang dan difitnah pula mereka kerana dikatakan cemburu akan kemewahan dan cinta-cinta yang dimilikinya. Semua gara-gara memberi teguran.

Ego, cinta, kemewahan semuanya telah mengaburi matanya. Padanya kecantikan yang dianugerahkan digunakan sebagai senjata untuk memberikan kemewahan yang dicari. Maruah digadai demi cinta-cinta yang terlalu murah dan kemewahan pasti akan diterima sebagai pulangannya.

Keluarga pula resah dan menangis kerana memikirkan masa depan anaknya tapi itu semua tidak dihiraukan. Dia pula menangis kerana menagih simpati untuk mencari cinta-cinta baru. Kemewahan yang dikejar membuatkan ia jauh tersasar jauh tanpa memikirkan halal haram.

Bila dimarahi keluarga dia sanggup bersumpah ingin bertaubat.Tapi masih menagih kemewahan dan boleh dikatakan nama-nama hotel bukan asing lagi baginya.

Bukan seorang malah ramai menjadi mangsa untuk melampiaskan nafsu syaitannya. Hanya mengucapkan ucapan rindu dan cinta pada suami orang, duda dan sesiapa yang pasti mereka boleh dilayan. Boleh melayan cinta-cinta mereka ini dalam masa yang sama. Yang penting duit berkepuk maka bolehlah dihayak ke hulu ke utara selatan timur barat. Nafsu dilepaskan dan dan kemewahan pasti menjadi miliknya.

Adakala lelaki sesama lelaki bergaduh kerananya tapi itu semua tidak merubahkan pendiriannya. Malah bangga kerana menjadi rebutan dan kecantikkannya diagungkan.

Persoalannya tidakkah takut akan penyakit kelamin atau AIDs? Air mata keluarga dan rakan-rakan tidak bernilai baginya?

Masih tidak terlambat lagi..ruang taubat masih terbuka..maka renung dan fikirkan demi dirimu..keluarga dan rakan-rakan yang masih menyayangi diri anda.

Jangan biarkan bencana dan malapetaka terjadi baru ingin bertaubat. Tika itu air mata darah sekali pun tidak sudah tidak berguna. Kerana yang putih bila menjadi hitam tetap akan hitam untuk selama-lamanya…

“Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.” (Al Maidah: 39)

Wednesday 22 June 2011

Bowling dan Tekanan

"Yeah strike! Dan di lontarkan lagi bola bowling ke lorong bowling dan semua pin bowl jatuh..Strike lagi!!! Jeritan kegembiraan tanpa menghiraukan orang sekeliling. Jatuh nya kesemua pin dengan sekali lontaran menghilangkan semua tekanan dan masalah yang membebankan fikiran. Sedar tak sedar hampir RM100 dihabiskan di pusat bowling. Baru terasa sengal dan sakit-sakit badan dan tangan tapi hati puas dan fikiran pun kembali tenang.

Hidup kita tidak sunyi dengan tekanan dan masalah. Bezanya besar atau kecil. Setiap masalah yang dihadapi mempunyai penyelesaian tapi terpulang pada setiap individu bagaimana untuk mengatasinya.

Jika fikiran kita buntu dan berada didalam keadaan yang begitu tertekan mengapa perlu kita memaksa diri untuk memikirkan jalan penyelesaiannya. Cari perkara yang boleh membuatkan diri kita tenang dan setelah itu barulah fikiran kita dapat berfikir dengan waras. Ketika itulah keputusan yang dibuat tidak akan merosakkan diri kita.

Salah satu cara yang diajarkan temanku adalah lepaskan semua masalah dan bebanan di pusat bowling. Anggap bola bowling itu adalah tekanan dan lemparkan ke lorong untuk menjatuhkan pin. Jatuhan pin akan membuatkan diri kita gembira dan mendapat suatu kepuasan. Secara tidak langsung kita akan gembira dan melupakan masalah buat sementara. Badan keluar peluh, hati gembira dan otak pun bolehlah berfikir

Bukan lari dari masalah tapi ini adalah salah satu cara untuk memberikan ketenangan supaya kita dapat membuat keputusan dengan waras dalam menyelesaikan masalah. Apakah kesan dari keputusan yang kita buat jika kita buntu dan dalam keadaan tertekan? Mungkin ada yang mengambil jalan pintas seperti bunuh diri, minum arak dan sebagainya. Dan ini akan merosakkan diri kita dan akhirnya penyesalan berlaku.

Banyak lagi cara untuk mengatasi tekanan dan semua terpulang pada anda sendiri. Yang penting bukan yang boleh merosakkan diri anda. Anda tentukan caranya..

Teman Menjadi Musuh...Arak dan Ganja Menjadi Teman

"Aku tak boleh kerja tanpa arak dan ganja..idea aku datang jika aku minum arak dan ambil ganja. Aku dah tak kisah orang nak cakap apa yang penting kerja aku semua aku selesaikan. Semua orang pandang jijik tapi pada aku dua benda ni adalah penyelamat aku bila aku ketandusan idea,"jelas si A tanpa segan silu menerangkan tujuan beliau mengambil arak dan ganja ketika kami melayan lagu jazz yang dimainkan oleh live band di salah sebuah hotel.

Si A bertanyakan padaku, "Cuba kau lihat atlet-atlet yang berjaya, kerjaya mereka bergantung pada steroid. Bukankah itu adalah tergolong dalam golongan dadah? Lihat pula dari segi perubatan, semua ubat yang digunakan mengandungi dadah. Jadi kalau aku bersalah kenapa tak di hukum juga mereka yang mengambil dadah?" 

Memang tak dinafikan dalam bidang perubatan dadah dan alkohol digunakan dengan tujuan penyembuhan. Tapi ia digunakan dalam kuantiti yang dikawal supaya tidak mendatangkan kemudaratan. Dan ramai orang telah mengambil peluang ini untuk tujuan yang mendatangkan keburukan pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Adakah hidup tidak sempurna atau kerja tidak dapat diselesaikan tanpa dadah dan arak? Jika dulu tidak pernah menyentuh dua perkara tersebut saya lihat teman saya itu lebih berjaya dan kehidupannya lebih sempurna. Kenapa sekarang pula mesti mengambil dadah dan alkohol segala idea datang akan lebih bagus? Saya tak nampak pun sebarang kesan yang baik kepada teman saya itu.

Malah hidupnya kini tunggang langgang ke hulu hilir semata-mata mencari duit untuk membeli dadah dan arak. Teman menjadi musuh kerana dadah dan arak sudah bertukar menjadi temannya. Sanggup menggadaikan kepercayaan dalam sebuah persahabatan kerana dadah dan arak. Adakah ini yang dikatakan kebaikan?

Hidupnya seolah-olah berada di puncak kejayaan kerana berada di alam khayalan ketika mengambil dadah dan arak. Hanya melaungkan orang itu salah..orang ini salah..dan yang haram bertukar halal...Yang baik disalahkan yang buruk dipuji. Cara pemikiran bertukar mengatakan haram adalah halal. Dan teman-teman disalahkan kerana tidak membantunya.  Keluarga di kampung yang sentiasa berfikiran baik terhadapnya tidak dihiraukan. Semua gara-gara dadah dan arak.

Bagaimana kehidupan beliau sekiranya mendirikan rumahtangga jika tidak dibuang tabiat itu? Pasti si isteri dan anak disalahkan jika terjadi sesuatu perkara. Dan akhirnya terjadi kemusnahan rumahtangga.

Apakah yang akan menyedarkan beliau? Puas dinasihati tapi masih berdegil malah saya pula dianggap musuh.
Jalan terakhir adalah berdoa agar beliau akan kembali ke pangkal jalan. Amin...

p/s: Cerita ini adalah sekadar untuk renungan dan bukan untuk mengaibkan sesiapa. Doakan mereka supaya kembali ke pangkal jalan. 

Wednesday 15 June 2011

Adik atau Abang?

"Umur saya 9 tahun kak. Mak saya di rumah buat kuih untuk dijual. Ayah dah lama meninggal. Abang saya umur 15 tahun dan asyik sibuk dengan kawan-kawan."

"Saya kesian mak kena cari duit. Sebab itu la saya berniaga. Dah biasa macam ni. Jual kacang seorang, mak tak teman. Saya tak rasa takut dan malu sebab saya tolong mak cari duit halal, bukan minta sedekah."

"Saya bangga dapat berniaga untuk tolong mak. Susah sekarang tak apa. Biar susah sekarang kak, tapi jangan sampai mak saya perlu mengemis untuk membayar yuran sekolah saya. Itu yang saya malu."

Itu jawapan-jawapan petah daripada si anak kecil, penjual kacang di kaki lima berhadapan dengan Dewan Jubli Intan Bandar Pontian yang menjawab semua soalan saya.

Dia sedang sibuk ketika itu... Saya mula tertarik melihatnya cekap membungkus kacang dan mengendalikan wang hasil jualan. Dia menjual kacang di atas motor beroda tiga, bersendirian. Saya rasa pelik. Namun penjelasan di atas telah pun menjawab persoalan yang bermain dalam minda saya.

Timbul rasa simpati memikirkan, kanak-kanak dalam usia sebegitu biasanya bermain dengan kawan-kawan pada cuti sekolah. Tetapi budak itu korbankan keseronokan dunia kanak-kanaknya untuk membantu si ibu mencari nafkah.

Dalam keadaan yang sukar itu, si abang yang berusia 15 tahun entah ke mana. Sibuk dengan kawan-kawan. Mujur si adik ada sikap bertanggungjawab terhadap keluarga.

Umur bukan halangan untuk memperbaiki kehidupan. Anak kecil setahun jagung itu sudah bijak membuat keputusan dan sudah kenal erti kesusahan. Bagaimana pula dengan kita yang sudah menghadapi pelbagai ragam dan tahu erti susah senang dalam kehidupan?

Bagi saya, biarlah kita jatuh sekali. Tetapi jangan diulangi kemalangan itu hanya kerana rasa malu yang bukan sepatutnya. Biar susah mencari rezeki tapi jangan ambil jalan mudah dengan menagih simpati dan mengemis demi sesuap nasi. Ketepikan ego dan perasaan malu yang tidak bertempat kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan pun, bahkan boleh menghancurkan diri.

Saya pelik dengan orang yang meratapi kemiskinan sedangkan tiada usaha gigih yang dibuat. Rezeki tidak datang bergolek. Menangis mengeluh sahaja tidak berguna.

Ada kalanya kita terlepas pandang. Kita biarkan ahli keluarga kita berusaha sendiri tanpa bantuan. Kita hanya mengaut kesenangan, tetapi mengelak kesusahan. Apa sebabnya? Malu atau bosan dengan keadaan hidup yang tidak menyeronokkan?

Kisah si adik dan si abang ini menyedarkan saya tentang kehidupan. Usahlah kita menjadi parasit dan mementingkan diri dalam masyarakat atau keluarga dengan tidak mahu berusaha atau membantu mereka. Jangan hanya menunggang perit jerih usaha mereka tetapi kita hanya bersenang-lenang sahaja. Sepatutnya kita perlu memberi sokongan dan bantuan kerana berkerjasama itu lebih kuat daripada usaha bersendirian.

Siapakah anda dalam keluarga dan masyarakat? Si adik atau si abang? Tepuk dada tanya selera.

Wednesday 1 June 2011

Bahagia Yang Dicari Ada Pada Diri Sendiri

Kebahagiaan dapat diperolehi dengan kesempurnaan akal

Semua manusia inginkan kebahagiaan dan setiap orang lain bahagia yang dicarinya.
- orang fakir katanya kekayaan adalah kebahagiaannya
- orang yang sakit apabila sembuh dari penyakitnya itulah bahagia padanya
- seorang pemimpin bahagia jika ada peningkatan dalam kemajuan dan keharmonian rakyat bawah pimpinannya
- Tabib rasa bahagia andai pesakitnya dapat disembuhkan
- Penjenayah pula rasa bahagia dengan melakukan jenayah walau ia salah disisi undang-undang.

Tapi masih ada yang bingung dimanakah sebenarnya kebahagiaan walau apa yang dikecapi telah diperoleh. Sebenarnya, bahagia berada dalam tangan kita, tapi kita masih mencari ditangan orang lain kerana beranggapan ditangan orang itu lebih indah bahagianya.

Pada pendapat saya bahagia sebenarnya terletak pada akal fikiran kita sendiri yang dikurniakan oleh Allah SWT. Jika bijak kita menggunakan akal, bertambah luaslah hidup dan datanglah bahagia dengan sendirinya. Jika sempit akal, maka sempitlah hidup datanglah pula kecelakaan.

Yang menyebabkan benci hidup dan tidak dapat temui bahagia kerana tidak tahu akan rahsia hidup. Kita sering tidak perhatikan keindahan yang terdapat alam dan ciptaan-Nya tapi mencari cacat celanya. Kita sempitkan akal fikiran dengan keburukan dan cacat cela disebalik kejadian-Nya Tapi andai kita bijak maka ia akan lebih arif tentang erti hidup, sentiasa beruntung dan bahagia tenteram hidupnya

Ramai terpedaya dengan cahaya samaran dari pertimbangan. Bila datang cahaya baru, yang dicari tidak ditemui dan kita leka dengan cahaya tersebut. Bila hilang cahaya tadi kita kembali ke tempat asal untuk mencari cahaya samaran tadi. Dan perkara yang sama berulang setiap kali datang cahaya baru kerana tidak menggunakan akal yang telah diberikan dengan sempurna

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
Alah telah berikan akal kepada 3 bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga-tiga bahagian, maka sempurnalah akalnya, kalau kurang walau sebahagian tidaklah ia tergolong orang yang berakal. 3 bahagian itu ialah baik makrifatnya dengan Allah, ketaatannya kepada Allah, dan sabarnya dengan ketentuan Allah
.

Saya simpulkan melalui sabda Nabi ini bahawa darjat manusia dibezakan dengan akal yang mampu bezakan baik buruk yang dapat dinilaikan dalam setiap pekerjaannya dan selidik kejadian segala yang ingin dicapai dalam perjalanan duniawi ini. Sekiranya bertambah sempurna dan indah akal itu maka bertambahlah darjat bahagia yang akan dicapainya.

Contohnya jika kita khuatiri akan rugi dalam mencari harta duniawi tapi hakikatnya kita telah mendapat kerugian yang lebih besar kerana kemurkaan Allah. Ini kerana asyik fikirkan bagaimana untuk mencari harta dan kebahagiaan duniawi kita hingga leka untuk sempurnakan amalan yang wajib sebagai hamba-Nya Untung pada yang sementara tetapi rugi pada yang kekal maka bahagia yang akan kita kecapi pun hanyalah sementara sahaja.


Memang tinggi bahagia yang akan kita dapat sekiranya kita terus berusaha. Biarlah kita mati sekali dalam mencari kebahagian yang sejati bukan berkali-kali mati kerana mencari bahagia yang hanya sementara. Kerana kelak kita mudah menjawab pada-Nya kerana Dia Maha Pengasih dan Maha Peyayang.

Renung dan fikirkan “Orang pengecut mati berkali-kali tetapi orang yang berani matinya hanya sekali”