Followers

Friday 12 August 2011

Haram Hobi Memancing Ikan?

Ada beberapa teman saya mengatakan memancing itu adalah haram. Pada mereka umpan hidup yang digunakan untuk mendapatkan hasil tangkapan melalui memancing dikira menyiksa binatang tersebut. Ini kerana umpan tersebut disangkut hidup-hidup di mata kail yang tajam. Dan ada juga mengatakan mata kail yang tajam dan bercangkuk itu menyiksa ikan itu ketika mencabutnya dari mulut ikan.


Ikan dan seluruh haiwan di bumi ini diperuntukkan Allah S.W.T untuk kita manfaatkan samada melalui daging, susu, tenaga dan sebagainya untuk dijadikan makanan atau dijadikan peliharaan untuk kegiatan harian. Maka untuk mendapatkan haiwan-haiwan ini dan memanfaatnya, aktiviti memburu dijalankan termasuklah mendapatkan ikan. Cuma kaedah berbeza kerana ikan perlu dipancing atau menggunakan pukat atau sebagainya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud "Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan laut, selama kamu dalam ihram dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan" (Al Maidah: 96)


Dan kaedah untuk mematikan haiwan buruan juga adalah berbeza. Ikan tidak perlu disembelih kerana secara hakikatnya ikan yang keluar dari habitatnya akan mati tidak kira lama atau sekejap.  Kita tidak disyariatkan untuk menyembelih ikan tetapi diwajibkan keatas haiwan buruan atau ternakan yang lain seperti rusa dan sebagainya dengan cara penyembelihan yang tepat supaya tidak menyiksa binatang itu. 

Maka pemancing tidak dianggap kejam, menyiksakan binatang mahupun dikatakan haram dan berdosa. Ini adalah kerana secara dasarnya pemancing menangkap ikan adalah untuk memanfaatkan dengan mendapatkan sumber protein dan makanan. 


Dan secara umumnya memancing itu adalah aktiviti yang boleh merapatkan silaturahim dan memupuk keharmonian bersama ahli keluarga, teman-teman mungkin juga bersama jiran tetangga. Dimana hasil tangkapan dikongsi bersama selain hobi memancing itu sendiri mampu memberikan ketenangan dan melatih si pemancing agar bersabar. Bukankah itu dituntut Islam dalam diri kita? 


Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada niat pemancing. Jika ia sekadar untuk membuang masa dan terlalu asyik sehingga mengabaikan pekerjaan yang wajib seperti abaikan solat kerana terlalu lama dan asik memancing, lupa akan tanggungjawab kepada ahli keluarganya, serta menjadikan memancing sebagai taruhan (berjudi) maka ia boleh jatuh ke tahap itu.   


Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: " Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".


Wallahuallam...

Wednesday 10 August 2011

Petai Untuk Kesihatan

Orang dahulu sering mengambil ulam sebagai sayuran dalam menu hidangan mereka. Pada mereka, khasiat ulam dapat dikekalkan dan tidak tercemar kerana tidak perlu dimasak untuk dijadikan santapan. Dan ulam juga dikaitrapatkan dengan kesihatan.

Begitu juga dengan petai yang selalu dijadikan ulam dalam menu santapan. Ada juga dijadikan jeruk ataupun campuran dalam masakan seperti sambal petai udang. Meskipun petai menghasilkan bau kepada si pemakannya, tapi khasiat petai amat berguna kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, anemia, dan kegemukkan. 

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain. Selain itu juga ia mengandungi klorofil, kalium, karborhidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2, B6, B12, dan C serta Tryptohan.

Khasiat untuk pengamalnya: 

Agen antioksidan: 
Kandungan klorofil dalam biji petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit dan mampu memperbaiki sistem penghadaman bagi pengamalnya. 

Mengurangkan masalah darah tinggi dan strok: 
Kandungan kalium dalam petai dengan kandungan rendah garamnya sesuai untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan secara tidak langsung ia boleh mengurangi risiko strok

Mengatasi anemia: 
Bagi mereka yang mengalami anemia, kandungan zat besi dalam petai mampu mengatasi masalah mereka. 

Mengurangkan masalah kencing manis: 
Kandungan Vitamin B6 dalam petai dapat membantu mengawal paras gula dalam darah untuk pesakit kencing manis.

Kemurungan:  
Petai juga mengandungi Trytophan, yang mampu mengawal tekanan seseorang, trytophan dapat bertukar kepada serotonin dimana dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil.

Sembelit:  
Petai mengandungi serat tumbuhan yang baik bagi penghadaman dan dapat mengelakkan gejala sembelit dari mudah berlaku

Mabuk: 
Ada petua yang menyatakan dan dipercayai bahawa adunan petai bersama susu dan madu dapat mengurangkan masalah mabuk, kerana herba petai, madu dan susu dapat memperbaiki aras glukosa dan mengembalikan aras cecair badan ke tahap seimbang

PMS:  
Khasiat vitamin B6 dalam petai juga membantu wanita yang mengalami kebingungan tatkal mendapat sindrom premenstrual.

Gigitan nyamuk: 
Petua orang lama ada mengatakan bahawa kulit papan petai yang dibahagian licin dalam poket biji petai juga boleh digunakan untuk merawat gigitan nyamuk. Kulit papan petai tersebut boleh disapukan pada bahagian bengkak atau kemerahan-merahan di kulit disebabkan oleh gigitan nyamuk.

Perokok: 
Kandungan Vitamin B6 dan B12 serta kalium dan magnesium dapat membantu dalam mengatasi kesan langsung akibat pemberhentian pengambilan nikotin oleh para perokok. 


Bagaimana? Yang mengalami masalah kesihatan mungkin boleh mencuba. Yang buruk dan pahit itu penawar. 

Friday 5 August 2011

Anak Syurga Dunia


Penat lelah seharian hilang setelah melihat senyuman si anak yang masih bertatih jalan lagi. Rumahku adalah syurgaku kerana adanya si anak penglipur lara. Kehadiran si anak memberikan ruang rezeki padaku dan menyedarkan aku tentang nikmat hidup serta tanggungjawab.

Namun ada diantara mereka sering mentafsirkan si anak adalah beban dalam melaksanakan kerja-kerja seharian. Pelik tapi itulah dunia sekarang. 

Ada yang merungut letih ke hulu hilir melayani kerenah anak-anak, ada yang marah bila si anak bergurau senda, dan ada pula yang melepaskan tekanan terhadap si anak kerana pulang dengan kecewa apabila kehendak dan keinginan mereka tidak tercapai.

Kata-kata dan keinginan serta janji sebelum dan selepas dikurniakan anak ternyata berbeza. Sebelum dikurniakan, terlalu menantikan kehadiran si anak. Tapi selepas dikurniakan, sekejap sahaja belaiannya.  

Setelah usia anak mula meningkat segalanya diabaikan. Segalanya alasan diberikan bila si anak memerlukan belaian kasih dan sayang. Silap kata padahlah si anak dapat. Pejabat dan aktiviti sosial dijadikan alasan perlukan ketenangan dan privasi. Rumah menjadi tempat tidur gara-gara kerenah si anak yang sudah pandai bermain-main. 

Mulalah salahkan si isteri kerana tidak pandai mendidik anak. Si anak pula mendapat hadiah 'herdikan dan pukulan' kerana dikatakan tidak menyusahkan serta tidak memberikan ketenangan. Rumah seakan neraka dirasakannya.

Persoalannya:

Anak merupakan anugerah kurniaan Allah dan secara fitrahnya pasangan yang sudah berumahtangga berhajatnya. Mereka sentiasa menginginkan dan mengharapkan kurniaan ini. 

Dan dalam dalam apa jua agama pun memahami betapa bernilainya kurniaan ini. Akan tetapi segelintir mereka yang tidak memahami kurniaan dan tanggungjawab ini, maka peranan tidak dapat dilaksanakan dan anak-anak tidak mendapat hak kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. 


1. Mahukan anak, sudah diberi, tapi kenapa pula tidak dihargai?

2. Apakah tugas mendidik anak itu adalah tanggungjawab si isteri semata-mata? Bagaimana pula tugas mencari rezeki, kerana zaman sekarang terlalu sedikit si isteri yang tidak keluar bekerja kalau tidak ke pejabat pasti bekerja secara 'online'?

3. Apakah si anak yang umurnya baru tidak sampai setahun jagung tahu tentang hidup; mereka dibanting, didera, dipijak kerana semua tekanan hidup yang dihadapi si bapa?

Adakah anda tergolong antara mereka yang tidak tahu menilai kurniaan ini?

Sunday 24 July 2011

Gaji 4 Angka Tak Cukup Untuk Parasit

"Pening la kepala aku..gaji bulan ni tak cukup..mana nak beli keperluan anak-anak aku..nak beli barang dapur..nak bayar duit kereta, rumah..dah la nak bulan puasa ni,” rungut si Fakim (bukan nama sebenar).

“Aik gaji dah cecah 4 angka pun masih tak cukup lagi? Isteri kamu kerja pun hampir cecah 4 angka gajinya, apa yang tak cukup lagi?” tanya si Malin (bukan nama sebenar) dengan penuh kehairanan.

Itulah kehidupan si Fakim. Walaupun suami isteri berpendapatan hampir mencecah RM10,000  masih tidak mencukupi.

Anak baru dua dan masih kecil, belanja keperluan dapur dan lain-lain hanya untuk 4 orang, bayaran pinjaman kereta dan rumah kecil kerana menggunakan kemudahan pinjaman yang kerajaan berikan. Itupun kalau dikira jumlah perbelanjaan semua masih ada lagi separuh gaji mereka tapi masih dikatakan belum mencukupi.

Setiap hari merungut perlu dinaikkan gaji kerana dibebankan dengan kerja yang melambak. Tapi sebagai pekerja yang ingin gaji dinaikkan rutin beliau setiap hari bekerja ialah:

1)      masuk lewat hampir jam 9 pagi. Jika lambat alasan pelbagai alasan diberikan
2)      10.00 pagi: keluar makan sarapan dan masuk semula hampir 12.00 tengahari. Kemudian berbual dan selak-selak fail sementara menunggu waktu keluar makan tengahari.
3)      12.15 tengahari: keluar makan tengahari dan masuk semula hampir 2.30 petang. Kemudian layari internet dan mula main facebook
4)      3.30 petang: keluar minum petang dan masuk semula hampir jam 5 petang. Kemudian buat kerja sambil berbual untuk menunggu masa pulang.
5)  5.00 petang: balik 

Persoalan untuk renungan:

1)      Dari 8 jam waktu bekerja, berapa jam yang Fakim peruntukkan untuk membuat dan menghasilkan kerja pejabat yang sempurna yang berbaloi dengan gaji 4 angka Fakim?

2)      Berbaloikah Fakim dinaikkan gaji sedangkan gaji beliau sudah mencecah 4 angka semata-mata perbelanjaan bulanannya sekeluarga tidak mencukupi?

3)      Apakah keuntungan yang telah Fakim berikan kepada majikan dan syarikat tempat beliau bekerja?

4)      Sedarkah Fakim bahawa beliau bagaikan parasit disyarikat beliau bekerja? Ini kerana beliau bekerja hanya untuk dibayar gaji semata-mata aktiviti makan, minum, berinternet dan berborak tanpa memberikan keuntungan kepada syarikat langsung. Malah perbuatan beliau ini tanpa disedari  mengundang pelbagai masalah kepada syarikat dan rakan sekerja yang lain.

5)      Tidak sedarkah Fakim gaji yang beliau terima dari aktiviti ‘sukahati’nya diberikan kepada isteri dan anak-anaknya? Dimana datangnya berkat hidup dan nikmat gaji jika ia datang dari hasil titik peluh aktiviti ‘sukahati' beliau?

Tapi diluar sana, ramai yang berpendapatan rendah tapi masih mampu dan puas membeli serta cukup segala minum pakai. Ini kerana mereka mendapat kepuasan dari hasil titik peluh mereka yang datangnya dari kerja yang betul-betul sempurna dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Tidak perlu risau dan tidak perlu merungut setiap bulan.

Adakah anda seperti Fakim? Ingin menjadi Parasit di tempat kerja? Menjadi ketua keluarga yang menyara isteri dan anak-anak hasil dari titik peluk aktiviti 'sukahati'nya dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari?

Renungkan dan fikir-fikirkan..berikan nikmat kepuasan yang tak terhingga dari gaji yang anda perolehi kepada kehidupan anda sekeluarga walau gaji hanya RM800 sebulan sahaja.


”Katakanlah, ‘Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya).’ Dan barang apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki"

Tuesday 5 July 2011

Melayu Kian Hilang Dibumi Sendiri

"Harga lot bumiputera dan lot internasional sama saja kak. Bezanya harga lot internasional tinggi sedikit dari lot bumiputera tapi bila diberikan pelbagai diskaun harganya sama seperti harga bumiputera." jawab ringkas si penjual bila ditanyakan harga lot bumiputera dan lot internasional.

Jelasnya lagi, "Harga bumiputera telah ditetapkan diskaun oleh kerajaan tapi pihak pemaju kami memberikan diskaun juga jika akak membeli lot internasional. Jadi perbezaan harga adalah lebih kurang dalam RM2000 hingga RM5000 saja kak".

Terkedu bila mendengar penjelasan wakil penjual salah sebuah pemaju terkenal di Johor Bahru. Tanpa sedar hak bumiputera kita telah dipermainkan oleh pihak pemaju demi mengaut keuntungan. 

Dalam hal sebegini mereka mengambil kesempatan kerana melihat bangsa kita sendiri sibuk bertelingkah sesama sendiri. Sana salahkan yang sini..yang sini pula menunding jari di pihak yang sana.  Tapi kita semua masih tak sedar lagi yang hak kita semakin lama semakin hilang gara-gara sikap kita sendiri

Sedarlah wahai bangsaku..bersatulah. Jika kita semua bersatu bangsa lain juga tidak akan berani mempertikaikan dan memperalatkan diri kita. Kerana perpecahan kita, mereka dapat mengaut keuntungan dan kepentingan diri mereka dari perbalahan sesama kita sendiri.

Ini baru sedikit. Tapi jika kita masih leka dan biarkan diri kita diperalatkan, mahukah semua hak yang telah kita perjuangkan dulu tergadai semula?

Inginkah generasi bangsa kita dijajah kerana kealpaan dan sikap kita sendiri? 

Inginkah anak-anak kita mengemis demi sesuap nasi kerana hilangnya hak kita di bumi yang telah kita selamatkan dahulu dari jajahan British dan Jepun?

Fikir dan renungkan. Nasib Melayu ditangan kita sendiri.



Wednesday 29 June 2011

Koleksi cinta demi kemewahan

Berbuih-buih dinasihatkan agar berubah tapi rakan-rakan pula disalahkan. Teman yang baik dibuang dan difitnah pula mereka kerana dikatakan cemburu akan kemewahan dan cinta-cinta yang dimilikinya. Semua gara-gara memberi teguran.

Ego, cinta, kemewahan semuanya telah mengaburi matanya. Padanya kecantikan yang dianugerahkan digunakan sebagai senjata untuk memberikan kemewahan yang dicari. Maruah digadai demi cinta-cinta yang terlalu murah dan kemewahan pasti akan diterima sebagai pulangannya.

Keluarga pula resah dan menangis kerana memikirkan masa depan anaknya tapi itu semua tidak dihiraukan. Dia pula menangis kerana menagih simpati untuk mencari cinta-cinta baru. Kemewahan yang dikejar membuatkan ia jauh tersasar jauh tanpa memikirkan halal haram.

Bila dimarahi keluarga dia sanggup bersumpah ingin bertaubat.Tapi masih menagih kemewahan dan boleh dikatakan nama-nama hotel bukan asing lagi baginya.

Bukan seorang malah ramai menjadi mangsa untuk melampiaskan nafsu syaitannya. Hanya mengucapkan ucapan rindu dan cinta pada suami orang, duda dan sesiapa yang pasti mereka boleh dilayan. Boleh melayan cinta-cinta mereka ini dalam masa yang sama. Yang penting duit berkepuk maka bolehlah dihayak ke hulu ke utara selatan timur barat. Nafsu dilepaskan dan dan kemewahan pasti menjadi miliknya.

Adakala lelaki sesama lelaki bergaduh kerananya tapi itu semua tidak merubahkan pendiriannya. Malah bangga kerana menjadi rebutan dan kecantikkannya diagungkan.

Persoalannya tidakkah takut akan penyakit kelamin atau AIDs? Air mata keluarga dan rakan-rakan tidak bernilai baginya?

Masih tidak terlambat lagi..ruang taubat masih terbuka..maka renung dan fikirkan demi dirimu..keluarga dan rakan-rakan yang masih menyayangi diri anda.

Jangan biarkan bencana dan malapetaka terjadi baru ingin bertaubat. Tika itu air mata darah sekali pun tidak sudah tidak berguna. Kerana yang putih bila menjadi hitam tetap akan hitam untuk selama-lamanya…

“Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.” (Al Maidah: 39)

Wednesday 22 June 2011

Bowling dan Tekanan

"Yeah strike! Dan di lontarkan lagi bola bowling ke lorong bowling dan semua pin bowl jatuh..Strike lagi!!! Jeritan kegembiraan tanpa menghiraukan orang sekeliling. Jatuh nya kesemua pin dengan sekali lontaran menghilangkan semua tekanan dan masalah yang membebankan fikiran. Sedar tak sedar hampir RM100 dihabiskan di pusat bowling. Baru terasa sengal dan sakit-sakit badan dan tangan tapi hati puas dan fikiran pun kembali tenang.

Hidup kita tidak sunyi dengan tekanan dan masalah. Bezanya besar atau kecil. Setiap masalah yang dihadapi mempunyai penyelesaian tapi terpulang pada setiap individu bagaimana untuk mengatasinya.

Jika fikiran kita buntu dan berada didalam keadaan yang begitu tertekan mengapa perlu kita memaksa diri untuk memikirkan jalan penyelesaiannya. Cari perkara yang boleh membuatkan diri kita tenang dan setelah itu barulah fikiran kita dapat berfikir dengan waras. Ketika itulah keputusan yang dibuat tidak akan merosakkan diri kita.

Salah satu cara yang diajarkan temanku adalah lepaskan semua masalah dan bebanan di pusat bowling. Anggap bola bowling itu adalah tekanan dan lemparkan ke lorong untuk menjatuhkan pin. Jatuhan pin akan membuatkan diri kita gembira dan mendapat suatu kepuasan. Secara tidak langsung kita akan gembira dan melupakan masalah buat sementara. Badan keluar peluh, hati gembira dan otak pun bolehlah berfikir

Bukan lari dari masalah tapi ini adalah salah satu cara untuk memberikan ketenangan supaya kita dapat membuat keputusan dengan waras dalam menyelesaikan masalah. Apakah kesan dari keputusan yang kita buat jika kita buntu dan dalam keadaan tertekan? Mungkin ada yang mengambil jalan pintas seperti bunuh diri, minum arak dan sebagainya. Dan ini akan merosakkan diri kita dan akhirnya penyesalan berlaku.

Banyak lagi cara untuk mengatasi tekanan dan semua terpulang pada anda sendiri. Yang penting bukan yang boleh merosakkan diri anda. Anda tentukan caranya..

Teman Menjadi Musuh...Arak dan Ganja Menjadi Teman

"Aku tak boleh kerja tanpa arak dan ganja..idea aku datang jika aku minum arak dan ambil ganja. Aku dah tak kisah orang nak cakap apa yang penting kerja aku semua aku selesaikan. Semua orang pandang jijik tapi pada aku dua benda ni adalah penyelamat aku bila aku ketandusan idea,"jelas si A tanpa segan silu menerangkan tujuan beliau mengambil arak dan ganja ketika kami melayan lagu jazz yang dimainkan oleh live band di salah sebuah hotel.

Si A bertanyakan padaku, "Cuba kau lihat atlet-atlet yang berjaya, kerjaya mereka bergantung pada steroid. Bukankah itu adalah tergolong dalam golongan dadah? Lihat pula dari segi perubatan, semua ubat yang digunakan mengandungi dadah. Jadi kalau aku bersalah kenapa tak di hukum juga mereka yang mengambil dadah?" 

Memang tak dinafikan dalam bidang perubatan dadah dan alkohol digunakan dengan tujuan penyembuhan. Tapi ia digunakan dalam kuantiti yang dikawal supaya tidak mendatangkan kemudaratan. Dan ramai orang telah mengambil peluang ini untuk tujuan yang mendatangkan keburukan pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Adakah hidup tidak sempurna atau kerja tidak dapat diselesaikan tanpa dadah dan arak? Jika dulu tidak pernah menyentuh dua perkara tersebut saya lihat teman saya itu lebih berjaya dan kehidupannya lebih sempurna. Kenapa sekarang pula mesti mengambil dadah dan alkohol segala idea datang akan lebih bagus? Saya tak nampak pun sebarang kesan yang baik kepada teman saya itu.

Malah hidupnya kini tunggang langgang ke hulu hilir semata-mata mencari duit untuk membeli dadah dan arak. Teman menjadi musuh kerana dadah dan arak sudah bertukar menjadi temannya. Sanggup menggadaikan kepercayaan dalam sebuah persahabatan kerana dadah dan arak. Adakah ini yang dikatakan kebaikan?

Hidupnya seolah-olah berada di puncak kejayaan kerana berada di alam khayalan ketika mengambil dadah dan arak. Hanya melaungkan orang itu salah..orang ini salah..dan yang haram bertukar halal...Yang baik disalahkan yang buruk dipuji. Cara pemikiran bertukar mengatakan haram adalah halal. Dan teman-teman disalahkan kerana tidak membantunya.  Keluarga di kampung yang sentiasa berfikiran baik terhadapnya tidak dihiraukan. Semua gara-gara dadah dan arak.

Bagaimana kehidupan beliau sekiranya mendirikan rumahtangga jika tidak dibuang tabiat itu? Pasti si isteri dan anak disalahkan jika terjadi sesuatu perkara. Dan akhirnya terjadi kemusnahan rumahtangga.

Apakah yang akan menyedarkan beliau? Puas dinasihati tapi masih berdegil malah saya pula dianggap musuh.
Jalan terakhir adalah berdoa agar beliau akan kembali ke pangkal jalan. Amin...

p/s: Cerita ini adalah sekadar untuk renungan dan bukan untuk mengaibkan sesiapa. Doakan mereka supaya kembali ke pangkal jalan. 

Wednesday 15 June 2011

Adik atau Abang?

"Umur saya 9 tahun kak. Mak saya di rumah buat kuih untuk dijual. Ayah dah lama meninggal. Abang saya umur 15 tahun dan asyik sibuk dengan kawan-kawan."

"Saya kesian mak kena cari duit. Sebab itu la saya berniaga. Dah biasa macam ni. Jual kacang seorang, mak tak teman. Saya tak rasa takut dan malu sebab saya tolong mak cari duit halal, bukan minta sedekah."

"Saya bangga dapat berniaga untuk tolong mak. Susah sekarang tak apa. Biar susah sekarang kak, tapi jangan sampai mak saya perlu mengemis untuk membayar yuran sekolah saya. Itu yang saya malu."

Itu jawapan-jawapan petah daripada si anak kecil, penjual kacang di kaki lima berhadapan dengan Dewan Jubli Intan Bandar Pontian yang menjawab semua soalan saya.

Dia sedang sibuk ketika itu... Saya mula tertarik melihatnya cekap membungkus kacang dan mengendalikan wang hasil jualan. Dia menjual kacang di atas motor beroda tiga, bersendirian. Saya rasa pelik. Namun penjelasan di atas telah pun menjawab persoalan yang bermain dalam minda saya.

Timbul rasa simpati memikirkan, kanak-kanak dalam usia sebegitu biasanya bermain dengan kawan-kawan pada cuti sekolah. Tetapi budak itu korbankan keseronokan dunia kanak-kanaknya untuk membantu si ibu mencari nafkah.

Dalam keadaan yang sukar itu, si abang yang berusia 15 tahun entah ke mana. Sibuk dengan kawan-kawan. Mujur si adik ada sikap bertanggungjawab terhadap keluarga.

Umur bukan halangan untuk memperbaiki kehidupan. Anak kecil setahun jagung itu sudah bijak membuat keputusan dan sudah kenal erti kesusahan. Bagaimana pula dengan kita yang sudah menghadapi pelbagai ragam dan tahu erti susah senang dalam kehidupan?

Bagi saya, biarlah kita jatuh sekali. Tetapi jangan diulangi kemalangan itu hanya kerana rasa malu yang bukan sepatutnya. Biar susah mencari rezeki tapi jangan ambil jalan mudah dengan menagih simpati dan mengemis demi sesuap nasi. Ketepikan ego dan perasaan malu yang tidak bertempat kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan pun, bahkan boleh menghancurkan diri.

Saya pelik dengan orang yang meratapi kemiskinan sedangkan tiada usaha gigih yang dibuat. Rezeki tidak datang bergolek. Menangis mengeluh sahaja tidak berguna.

Ada kalanya kita terlepas pandang. Kita biarkan ahli keluarga kita berusaha sendiri tanpa bantuan. Kita hanya mengaut kesenangan, tetapi mengelak kesusahan. Apa sebabnya? Malu atau bosan dengan keadaan hidup yang tidak menyeronokkan?

Kisah si adik dan si abang ini menyedarkan saya tentang kehidupan. Usahlah kita menjadi parasit dan mementingkan diri dalam masyarakat atau keluarga dengan tidak mahu berusaha atau membantu mereka. Jangan hanya menunggang perit jerih usaha mereka tetapi kita hanya bersenang-lenang sahaja. Sepatutnya kita perlu memberi sokongan dan bantuan kerana berkerjasama itu lebih kuat daripada usaha bersendirian.

Siapakah anda dalam keluarga dan masyarakat? Si adik atau si abang? Tepuk dada tanya selera.

Wednesday 1 June 2011

Bahagia Yang Dicari Ada Pada Diri Sendiri

Kebahagiaan dapat diperolehi dengan kesempurnaan akal

Semua manusia inginkan kebahagiaan dan setiap orang lain bahagia yang dicarinya.
- orang fakir katanya kekayaan adalah kebahagiaannya
- orang yang sakit apabila sembuh dari penyakitnya itulah bahagia padanya
- seorang pemimpin bahagia jika ada peningkatan dalam kemajuan dan keharmonian rakyat bawah pimpinannya
- Tabib rasa bahagia andai pesakitnya dapat disembuhkan
- Penjenayah pula rasa bahagia dengan melakukan jenayah walau ia salah disisi undang-undang.

Tapi masih ada yang bingung dimanakah sebenarnya kebahagiaan walau apa yang dikecapi telah diperoleh. Sebenarnya, bahagia berada dalam tangan kita, tapi kita masih mencari ditangan orang lain kerana beranggapan ditangan orang itu lebih indah bahagianya.

Pada pendapat saya bahagia sebenarnya terletak pada akal fikiran kita sendiri yang dikurniakan oleh Allah SWT. Jika bijak kita menggunakan akal, bertambah luaslah hidup dan datanglah bahagia dengan sendirinya. Jika sempit akal, maka sempitlah hidup datanglah pula kecelakaan.

Yang menyebabkan benci hidup dan tidak dapat temui bahagia kerana tidak tahu akan rahsia hidup. Kita sering tidak perhatikan keindahan yang terdapat alam dan ciptaan-Nya tapi mencari cacat celanya. Kita sempitkan akal fikiran dengan keburukan dan cacat cela disebalik kejadian-Nya Tapi andai kita bijak maka ia akan lebih arif tentang erti hidup, sentiasa beruntung dan bahagia tenteram hidupnya

Ramai terpedaya dengan cahaya samaran dari pertimbangan. Bila datang cahaya baru, yang dicari tidak ditemui dan kita leka dengan cahaya tersebut. Bila hilang cahaya tadi kita kembali ke tempat asal untuk mencari cahaya samaran tadi. Dan perkara yang sama berulang setiap kali datang cahaya baru kerana tidak menggunakan akal yang telah diberikan dengan sempurna

Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
Alah telah berikan akal kepada 3 bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga-tiga bahagian, maka sempurnalah akalnya, kalau kurang walau sebahagian tidaklah ia tergolong orang yang berakal. 3 bahagian itu ialah baik makrifatnya dengan Allah, ketaatannya kepada Allah, dan sabarnya dengan ketentuan Allah
.

Saya simpulkan melalui sabda Nabi ini bahawa darjat manusia dibezakan dengan akal yang mampu bezakan baik buruk yang dapat dinilaikan dalam setiap pekerjaannya dan selidik kejadian segala yang ingin dicapai dalam perjalanan duniawi ini. Sekiranya bertambah sempurna dan indah akal itu maka bertambahlah darjat bahagia yang akan dicapainya.

Contohnya jika kita khuatiri akan rugi dalam mencari harta duniawi tapi hakikatnya kita telah mendapat kerugian yang lebih besar kerana kemurkaan Allah. Ini kerana asyik fikirkan bagaimana untuk mencari harta dan kebahagiaan duniawi kita hingga leka untuk sempurnakan amalan yang wajib sebagai hamba-Nya Untung pada yang sementara tetapi rugi pada yang kekal maka bahagia yang akan kita kecapi pun hanyalah sementara sahaja.


Memang tinggi bahagia yang akan kita dapat sekiranya kita terus berusaha. Biarlah kita mati sekali dalam mencari kebahagian yang sejati bukan berkali-kali mati kerana mencari bahagia yang hanya sementara. Kerana kelak kita mudah menjawab pada-Nya kerana Dia Maha Pengasih dan Maha Peyayang.

Renung dan fikirkan “Orang pengecut mati berkali-kali tetapi orang yang berani matinya hanya sekali”

Sunday 29 May 2011

10 tips to deal with bad situation.. control your mind

1. No one is in charge of your happiness except u

2. Make peace with your past, so it won't make mess up the present

3. Don't compare your life to to others' cos u have no idea what their journey is all about.

4. What other people think of you is none of your business

5. However good or bad a situation is, it will change

6. Your job won't take care of you when u are sick but ur families will

7. Forgive everyone for everything

8. Time heals almost everything. give time, time..

9. The best is yet to come..just believe in Allah..

10. Life isn't fair, but it's still good

Monday 23 May 2011

Tips yang mudah tapi tak semua dapat laksanakan

Menjadi lumrah ada yang baik ada yang buruk. Dan setiap yang buruk pasti akan dipandang negatif oleh orang lain dan kadang-kadang kita sendiri akan terpengaruh dengan hasutan-hasutan dengki.

Begitu juga dalam hubungan sesama manusia. Pasti ada yang ingin merosakkan hubungan kerana mempunyai hasad dengki, cemburu, dendam, mementingkan diri sendiri dan sebagainya. Dan yang menjadi mangsa adalah adalah kita sendiri kerana terjadinya perpecahan dalam membina komuniti yang harmoni.

Beberapa tips untuk perbaiki hubungan sesama manusia dan boleh digunakan untuk perbaiki hubungan suami isteri:

1. Fikirkan setiap kebaikan yang pernah diberikan walaupun sedikit sahaja.

2. Imbas semula kenangan yang penah diberikan walaupun pahit yang diberikan.

3. Ulangi aktiviti-aktiviti yang dilalui semasa bercinta.

4. Kadang-kadang ada suatu perkara yang kita tidak dapat lakukan bersama sebab kerana takut, tak suka atau pernah lalui peristiwa hitam. Jika kita ikhlas tunjukkan bahawa kita sanggup berubah dan buat semua itu demi mereka.

5. Tunjukkan keikhlasan dari segala yang anda buat tanpa mengungkit semua.

6. Elakkan segala buruk sangka kerana itu adalah punca yang menjadi kerosakkan dalam sesuatu hubungan.

7. Sentiasa berterima kasih atas apa yang pernah dilakukan dan berikan pada anda.

8. Fahami segala minat dan beri galakkan kerana mereka juga akan berbuat demikian kepada anda.

9. Alert terhadap cita-cita, perasaan dan tindakbalas serta 'body language' dengan memahami maka anda dapat mengelakkan dari pertelingkahan.

Walaupun ia mudah diamalkan, tapi masih ramai lagi yang mudah terpengaruh dan akibatnya terjadilah perpecahan dalam hubungan sesama manusia.

"Setiap yang sempurna datangnya dari Allah SWT dan segala kekurangan dan keburukan datang dari kita sendiri"

Sunday 22 May 2011

Beberapa tips ringkas untuk membeli rumah

Seorang teman ingin membeli rumah dan bertanyakan samada saya boleh memberikan panduan untuk membeli rumah. Saya bukanlah pandai sangat tapi pengalaman dan amalan membaca serba sedikit memberikan saya ilmu dalam memilih rumah agar ia menjadi Rumahku Syurgaku.

Nampak mudah tapi bila dah terlalu gembira dan teruja nak beli rumah semua yang penting diabaikan dan kelak kita juga yang tanggung kerugian.

Beberapa tips yang saya ingin kongsi bersama sekiranya membeli rumah dari pemaju.

1. Jangan membeli rumah yang didirikan di atas tapak bekas tapak pelupusan sampah kerana ia akan memberikan kesan terhadap kesihatan anda.

2. Kawasan tanah bukan dari bekas kawasan kelapa sawit kerana seteguh mana konkrit yang dibina rumah anda pasti akan diserang anai-anai.

3. Pilih rumah matahari pagi kerana ia memudahkan anda melaksanakan aktiviti seperti pengeringan baju dan sebagainya pada waktu pagi dan aktiviti riadah bersama keluarga pada waktu petang yang kurang panas. Jika matahari panas pada waktu pagi keadaan seisi keluarga tidak selesa berada dirumah dan aktiviti keluarga dalam rumah berkurangan kerana lebih gemar berada di luar.

4. Saluran air (longkang) besar atau tertutup kerana apabila hujan lebat tiada takungan air. Dan ia juga boleh mengurangkan risiko penyakit demam denggi kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk.

5. Tidak berhampiran dengan jalan yang sibuk kerana menyukarkan kenderaan keluar masuk dari kediaman anda dan akan mengalami pencemaran bunyi dan udara (dari kenderaan)

6. Membeli rumah dari pemaju yang telah stabil supaya kita tidak ditipu dan membayar pinjaman tanpa dapat menduduki.

8. Setelah menerima kunci rumah, pastikan tiada 'defect' terutama dalam bilik air (air tiada takungan), paip, pintu, tiada 'crack di dinding-dinding, halaman rumah rata dan tidak boleh menjadi tempat takungan air. Selalunya tempoh defect yang akan ditanggung oleh pihak pemaju bergantung pada perjanjian (ada yang menawarkan sehingga 18 bulan). Sekiranya renovation rumah dibuat dalam tempoh 18 bulan dari tarikh terima kunci, segala defect tidak ditanggung. Jadi pastikan tiada defect sebelum renovation.

8. Kediaman tidak berhampiran dengan loji takungan najis.

9. Lihat kemajuan kawasan tersebut (contoh berhampiran dengan klinik, pasar, sekolah, dan mempunyai beberapa fasiliti yang lain)

10. Yang penting keluasan rumah dan jumlah bilik hendaklah bergantung kepada jumlah ahli keluarga yang akan tinggal bersama.

11. Kedudukan rumah tidak jauh dari tempat bekerja. Jika kerana ingin membeli rumah murah tapi tempat bekerja jauh, ia tidak berbaloi kerana jika dikira jauh perjalanan dengan minyak dan masa adalah sama dengan harga rumah yang berhampiran dengan tempat bekerja. Jika terlalu jauh juga, masa dan kepenatan dihabiskan di luar rumah dan apabila tiba dirumah sudah terlalu letih untuk melayan keluarga. Jadi tiadalah "Rumahku Syurgaku".

Semua perkara diatas jika tidak diambil kira akan memberikan kesan kepada kita kerana terpaksa mengeluarkan belanja, tidak selesa dan akibatnya hilanglah "Rumah Syurgaku"

Nampak terlalu mudah dan ringan perkara-perkara diatas tetapi yang mudah jangan dipandang ringan kerana ia mungkin memberikan impak kepada masa hadapan nanti.

Jika ada yang lain apa salahnya kita berkongsi.

Bijak membeli menjadikan 'Rumah Syurgaku".

Tuesday 17 May 2011

Berubah salah tak berubah lagi salah

Berubah salah tak berubah lagi salah.

Pernahkah anda dengar ayat-ayat ini? Apakah yang anda faham dari ayat ini?

Mari kita renungkan sejenak dan letakkan diri anda didalam situasi ini:

"Aku ingin berubah tapi masyarakat masih tak bagi peluang untuk aku berubah, ada saja salah aku pada mata dorang padahal aku dah berubah tak buat semua tu. Kalau ada masalah aku disalahkan, dipaksa ngaku sampai aku mengaku padahal aku tak buat pun apa-apa pun. Kalau camni la baik aku tak payah berubah sebab aku buat apa-apa pun orang tak terima aku"

Pada pendapat saya, setiap orang mempunyai masalah dan tak pernah putus dengan segala kesilapan. Jadi apa lah salahnya jika kita mahukan hidup yang harmoni tanpa pecah belah, kita maafkan saja dan bantu mereka. Bukankah maaf memaafkan adalah tindakan yang mulia dan bijak. Kerana dengan memaafkan kita membentuk dan mengajar seseorang supaya lebih berwaspada dalam segala tindakan yang boleh memburukkan diri mereka dan masyarakat.

Cuba anda lihat, kemanakah tujuan arah mereka jika tidak memberi mereka peluang untuk berubah? Salah mereka atau masyarakat jika mereka kembali keperangai lama?

Mereka kembali dan kali ini semakin teruk dari dulu. Ini kerana golongan ini cuba meluahkan rasa tidak puas hati dan memberontak membalas dendam dengan menarik lebih ramai lagi agar terjerumus dengan aktiviti mereka. Dan yang paling teruk jika kita menjadi mangsa untuk mereka membalas dendam.

Siapa yang rugi? Keluarga yang mungkin salah seorang menjadi mangsa golongan ini, masyarakat yang berdepan dengan mereka dan negara yang terpaksa mengeluarkan belanja untuk menempatkan mereka kerana bilangan semakin banyak.

Betul mereka pernah buat salah tapi kita juga pernah buat salah. Tak semua orang sempurna. Dan sekiranya kita ingin orang lain memaafkan kesalahan kita, jadi kita perlulah buat perkara yang sama.

Mereka perlukan sokongan dan bantuan untuk berubah. Jika tak mampu cukuplah sekadar menerima mereka seadanya. Jangan diungkit kisah silam mereka kerana mereka juga sama seperti kita mempunyai naluri dan perasaan ingin berjaya dalam hidup.

Maaf dan sokongan anda memberi impak yang cukup besar. Anda terima, anda maafkan dan anda tentukan.

Kenapa suka dimarahi?

Marah? Tiap-tiap hari kena marah? Siapa yang bermasalah anda atau mereka?

Saya sering terdengar kawan-kawan mengadu tiap-tiap hari kena marah dengan majikan, keluarga atau kawan-kawan mereka. Tapi bila saya tanya mengapa dan renung semula sebahagian puncanya dari diri mereka sendiri yang seakan-akan ketagih ingin dimarahi.

Kenapa mereka suka dimarahi?

1. inginkan perhatian dari orang yang ingin memarahi mereka (selalunya orang ini kurang perhatian dan kasih sayang -selalunya kanak-kanak kecil)

2. suka mencari masalah dengan orang sekeliling kerana dari situ nama mereka akan mudah dikenali (dengan kata lain nak glamour tak kena tempat)

3. susah nak meluahkan perasaan mereka bila keadaan normal. Tetapi bila dimarahi barulah mereka bebas untuk meluahkan apa yang dirasa.

4. kerana mereka nak melihat perangai sebenar orang yang memarahi mereka kerana kelakuan dan perasaan yang sebenar akan terkeluar.

5. Ingin mendapatkan maklumat dan rahsia (terjadi dan diamalkan dalam mahkamah atau mana-mana siasatan yang memerlukan maklumat untuk membantu siasatan)

6. sebab mereka tidak tahu menguruskan segala-galanya dan sanggup dimarahi supaya orang lain boleh mengajar mereka (dengan kata lain malu nak bertanya tapi sanggup dimarahi nanti boleh cerita pada orang lain orang yang memarahi mereka ada masalah padahal diri sendiri yang bermasalah)

Itu sekadar pandangan saya.

Walaubagaimanapun kadang-kadang saya tetap pelik dengan kerenah orang. Jika kita dah ketahui sesetengah orang memang tidak suka disogokkan dengan kata-kata sindiran ataupun kata-kata yang boleh menyentuh hati mereka kita sogokkan lagi. Bila dimarahi pandai pula melenting disalahkan orang yang memarahi mereka.

Nasihat saya jangan pula di jolok sarang tebuan. Silap haribulan disengat pula anda. Masa tu janganlah disalahkan tebuan pula.

Mudah saja, jika orang tidak mengganggu anda jangan diganggu mereka. Kerana orang yang marah susah dikawal dan kita tak tau apa kemampuan dan pemikiran mereka. Lagi-lagi orang yang susah nak marah. Mereka ini bagaikan gunung berapi tidur. Sekali meletup habis semua.

Inginkan hidup yang aman?

Bila kita gelak iapun gelak
bila kita berlari iapun berlari
amalan saya mudah tuk mengelak
tidak dimarahi jika selalu cermin diri

Thursday 12 May 2011

Jangan ditanya apa yang boleh diberi kepada kita....

Setujukah anda dengan pendapat saya?

Jangan asik fikirkan apa yang orang lain boleh berikan pada anda tapi cuba anda fikirkan apakah yang anda boleh dan telah berikan kepada mereka?

Ini yang sering terjadi dalam komuniti sekarang. Mereka lebih gemar meminta dari memberi. Bila diminta untuk memberi pelbagai alasan diberi.

Baru buat kerja sikit dah tanya apakah balasan yang boleh diberikan. Jika ini menjadi amalan, alamat sampai bila-bilalah kita ditakuk yang sama.

Tak setuju dengan saya?

Baiklah andaikan anda adalah Penghulu Kampung. Beberapa orang penduduk kampung memberontak terhadap kepimpinan anda kerana sering terjadi kecurian pada waktu malam.

Setiap malam tiada seorang pun penduduk kampung yang bersuara atau ingin melakukan rondaan disekitar kampung. Masing-masing sibuk melayan tilam empuk dirumah. Bila terjadi kecurian anda sebagai Penghulu dipersalahkan kerana tidak mengambil sebarang tindakan.

Dengan kata lain, tiada kerjasama untuk membanteras kecurian yang semakin berleluasa.

Dalam persoalan ini, siapakah yang harus bertindak? Penghulu atau Penduduk-penduduk kampung? atau kedua-duanya sekali?

Anda renung dan fikirkan sama ada anda setuju dengan kata-kata awal saya tadi atau tidak. Tepuk dada tanya selera.

SALAH SIAPA?

"Jangan nak salahkan saya je, awak pikir balik salah awak". Selalu sangat saya dengar kata-kata ni dimana-mana saja.

Persoalannya salah siapa? Yang si A salahkan si B dan si B salahkan menunding jari antara satu sama lain dan sampai sudah kita tak ketahui siapakah yang patut disalahkan.

Beberapa persoalan yang belum terungkai untuk kita fikirkan sendiri:

Situasi 1: Salah orang yang menaburkan janji atau orang yang mengharapkan janji?
1) Awak janji nak bagi 50% deposit sebelum kerja tapi selepas selesai kerja, saya masih tak tak dapat lagi baki deposit saya. Jadi jangan salahkan saya jika hasil kerja saya lupuskan? Salah saya atau salah awak? Awak pandai janji dan bila orang dah mengharap janji awak, awak kata saya yang salah bila saya tak nak bagi hasil kerja saya?

Situasi 2: Salah suami atau isteri?
2)Awak salahkan saya bila terjadinya penceraian ini? Saya cari rezeki, jaga anak-anak, dan rumah tangga tapi apa yang saya dapat? Ucapan terima kasih langsung tidak pernah keluar dari mulut awak? Awak kata saya pentingkan diri sebab tak hargai awak sebagai suami?

Situasi 3: Salah Pekerja atau Majikan?

3) Saya telah buat semua kerja dengan bersungguh-sungguh dan saya tak pernah mempunyai masalah disiplin. Malah saya sanggup bekerja lebih masa. Hasil kerja saya juga telah membuatkan syarikat menerima ramai pengguna dan nama syarikat telah dikenali ramai dan ini diakui oleh pihak pengurusan syarikat sendiri. Salah saya ke jika saya mula rasa dipergunakan kerana selama saya bekerja tidak dinaikkan pangkat dan gaji.

Situasi 4: Salah Anak atau Ibu Bapa?
4) Aku bukan nak apa-apa, cuma kasih sayang ibu bapa aku je. Ni dorang lebih pentingkan duit dari luangkan masa dengan anak-anak. Aku ni robot ke tak ada perasaan. Tengok semua kawan-kawan ada masa dengan ibu bapa masing-masing, yang aku ni kat rumah macam tak ada mak bapa. Ibu bapa aku kata aku asik buang masa dengan teman-teman.Salah ke aku keluar lepak dengan teman-teman sebab ibu bapa aku tak ada masa dengan aku?

Anda fikirkan situasi-situasi diatas yang sering terjadi di sekeliling kita. Siapakah yang harus dipersalahkan?

Saya hanya mendengar dan melihat. Saya bersuara bagi pihak mereka jadi anda nilaikan kenapa orang-orang yang berada dalam situasi tersebut memberontak. Mereka juga tertanya-tanya salah mereka sendiri atau itu takdir mereka?

Renungkan dan berikan lah pendapat kepada mereka jika anda temui mereka. Mereka perlukan sokongan dan pandangan ketika dalam situasi ini.

Jika terjadi pada saya, satu saja yang saya tau dan saya hanya akan berkata "WHAT U GIVE, U'LL GET BACK". Wallahualam...

Wednesday 11 May 2011

KITA DILAHIRKAN SEBAGAI KETUA

"KITA dilahirkan sebagai seorang ketua".

Kita yang saya maksudkan disini adalah diri kita sendiri yang menjadi ketua kepada setiap anggota badan kita sendiri.

Fikirkan sejenak. Bagaimana kita menggerakkan anggota badan kita untuk melakukan sesuatu?

Kita melihat, mendengar atau merasa. Setelah itu kita akan memberikan arahan kepada minda dan akan menyalurkan maklumat kepada semua anggota badan kita untuk melaksanakan segala arahan yang telah diterima.

Beberapa persoalan yang perlu kita tanya diri kita sendiri:

1) Dalam suatu situasi dimana musuh kiuta ingin menaikkan kemarahan kita dengan niat untuk menjatuhkan maruah kita, perlukah kita membalas dengan memukul musuh tersebut? Bagaimana untuk membalas?

2) Sekiranya kita ingin melintas jalan yang sesak dan terdapat jejantas yang disediakan. Perlukah kita mempertaruhkan nyawa kita dengan melintas jalan dengan keadaan yang membahaya?

3) Tiba-tiba kita sakit kepala yang amat sangat, perlukah kita memaksa otak kita untuk berfikir dengan keadaan begitu?

Jika kita tidak memberi arahan kepada otak kita untuk menyalurkan maklumat yang betul dan tepat untuk memberi tindakbalas terhadap situasi tersebut, apakah yang akan terjadi? Semuanya akan menjadi haru-biru kan?

Jadi kita telah melatih diri kita sendiri berfikir sebarang kebarangkalian dan kemungkinan untuk mengetuai segala tindakbalas tanpa kita sedari. Dengan kata lain, kita sebenarnya dilahirkan sebagai ketua untuk mengetuai anggota badan kita bertindakbalas terhadap ransangan yang kita terima.


Jika tindakan kita diluar batas itu bermakna kita tidak dapat mengetuai diri kita sendiri dengan baik dan jawapan yang akan kita terima dari pandangan masyarakat "Orang ni gila agaknya". Jangan marah masyarakat kerana mereka juga adalah ketua pada diri sendiri melalui pemerhatian mereka kerana tindakan anda melambangkan anda bukanlah seorang ketua yang baik.

Renungkan dan fikirkan. Jika setuju bertindaklah dengan bijak. Anda adalah ketua dalam segala tindakan anda.

Friday 6 May 2011

BAYANGAN DALAM KEBAHAGIAAN

Apakah yg anda cari dari masa silam anda?

Jika sekarang anda telah temui kebahagiaan yang anda cari mengapa perlu menoleh semula kebelakang.

Hanya 2 soalan yang mudah tetapi bergantung pada keperluan anda.Cuba tanya pada diri anda, APA YANG ANDA INGINKAN?

1. MASA SILAM?
2. KEBAHAGIAAN YANG ANDA CARI DAN ANDA TELAH KECAPI PADA KETIKA INI?

Dapatkah anda perolehi kedua-duanya dalam masa yang sama? Adakah masa depan anda akan menerima sekiranya mereka disajikan dengan kisah silam anda setiap hari?

Bahagia mereka bahagia anda. Duka mereka duka anda.

Kebahagiaan yang telah ditemui akan mengulangi peristiwa semalam jika dikenang, tapi kebahagian hari ini adalah pasti walaubagaimanapun kebahagiaan esok anda tentukan.

Renung dan fikirkanlah.

Thursday 5 May 2011

Terima Kasih Beri Impak Maksima

TERIMA KASIH. Dua perkataan yang mudah diungkap tapi mampu memberikan impak yang paling maksima dalam hidup seseorang.

Ungkapan ini masih dipandang remeh oleh mereka yang saya andaikan masih tidak dapat menilaikan makna disebalik dari perkataan tersebut. Beberapa soalan yang saya ingin tujukan untuk jadi renungan kawan-kawan ialah:

1. Fikir semula dalam sehari berapa banyak 2 perkataan ini diberikan dan kita terima oleh orang sekeliling kita samada kita bantu atau kita dibantu?adakah terlalu sedikit ucapan terima kasih yang kita terima seperti sedikitnya kita ucapkan terima kasih pada orang yang bantu kita?

2. Apa perasaan kita sekiranya kawan yang kita bantu tak kira bantuan yang diberikan itu kecil atau besar tiba-tiba tinggalkan kita tanpa sebarang kata-kata? Apa yang kita akan buat sekiranya terjumpa orang yang sama dilain hari dan perlukan bantuan kita?

3. Apakah perasaan anak kecil sekiranya dia menerima ucapan terima kasih dari si ibu kerana dia hanya membuai adiknya yang sedang menangis didalam buaian sementara si ibu membancuh susu adiknya. Apakah reaksi si anak tadi dan impak dalam hubungan dia dan adiknya tadi?

4. Seorang isteri menggosokkan baju kerja suaminya dan suami memakai baju tersebut dan terus pergi kerja tanpa mengucapkan terima kasih. Dan perkara yang sama akan berulang. Apakah perasaan isteri dan impak dalam perhubungan mereka?

5. Seorang pekerja pencuci tandas di pusat membeli belah menerima ucapan terima kasih kerana berkerja dengan bersungguh-sungguh oleh majikannya. Apakah yang akan terjadi pada pekerja tersebut selepas menerima 2 patah perkataan tersebut? Bagaimanakah kesihatan dan keselesaan pengunjung-pengunjung pusat membeli belah tersebut?

Mungkin 2 perkataan ini 'sekecil-kecil kuman' pada anda tapi ia mampu memberikan impak maksima terhadap sesuatu perhubungan sesama insan. Kerana setiap manusia perlukan penghargaan tidak kira samaada kecil atau besar. "Yang kecil jika tidak dijaga akan merebak menjadi besar"

Jika anda lalui anda nilaikan. Jika anda setuju jadikan amalan. Jika tidak renung-renungkan

Wednesday 4 May 2011

Selamat datang ke blog Nazlin Hassan...

Di sepanjang kehidupan, kita melihat, mendengar, merasakan dan menghayati kejadian di sekeliling. Daripada input itu kita berfikir dan memproses untuk membuat kesimpulan. Seterusnya kita ekspresikan dengan isyarat-isyarat lisan ataupun tanpa lisan.

Blog ini akan dijadikan ruang untuk saya meluahkan segala yang terlintas dalam fikiran. Semoga ia bermanfaat untuk semua. Terima kasih.