Followers

Wednesday 15 June 2011

Adik atau Abang?

"Umur saya 9 tahun kak. Mak saya di rumah buat kuih untuk dijual. Ayah dah lama meninggal. Abang saya umur 15 tahun dan asyik sibuk dengan kawan-kawan."

"Saya kesian mak kena cari duit. Sebab itu la saya berniaga. Dah biasa macam ni. Jual kacang seorang, mak tak teman. Saya tak rasa takut dan malu sebab saya tolong mak cari duit halal, bukan minta sedekah."

"Saya bangga dapat berniaga untuk tolong mak. Susah sekarang tak apa. Biar susah sekarang kak, tapi jangan sampai mak saya perlu mengemis untuk membayar yuran sekolah saya. Itu yang saya malu."

Itu jawapan-jawapan petah daripada si anak kecil, penjual kacang di kaki lima berhadapan dengan Dewan Jubli Intan Bandar Pontian yang menjawab semua soalan saya.

Dia sedang sibuk ketika itu... Saya mula tertarik melihatnya cekap membungkus kacang dan mengendalikan wang hasil jualan. Dia menjual kacang di atas motor beroda tiga, bersendirian. Saya rasa pelik. Namun penjelasan di atas telah pun menjawab persoalan yang bermain dalam minda saya.

Timbul rasa simpati memikirkan, kanak-kanak dalam usia sebegitu biasanya bermain dengan kawan-kawan pada cuti sekolah. Tetapi budak itu korbankan keseronokan dunia kanak-kanaknya untuk membantu si ibu mencari nafkah.

Dalam keadaan yang sukar itu, si abang yang berusia 15 tahun entah ke mana. Sibuk dengan kawan-kawan. Mujur si adik ada sikap bertanggungjawab terhadap keluarga.

Umur bukan halangan untuk memperbaiki kehidupan. Anak kecil setahun jagung itu sudah bijak membuat keputusan dan sudah kenal erti kesusahan. Bagaimana pula dengan kita yang sudah menghadapi pelbagai ragam dan tahu erti susah senang dalam kehidupan?

Bagi saya, biarlah kita jatuh sekali. Tetapi jangan diulangi kemalangan itu hanya kerana rasa malu yang bukan sepatutnya. Biar susah mencari rezeki tapi jangan ambil jalan mudah dengan menagih simpati dan mengemis demi sesuap nasi. Ketepikan ego dan perasaan malu yang tidak bertempat kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan pun, bahkan boleh menghancurkan diri.

Saya pelik dengan orang yang meratapi kemiskinan sedangkan tiada usaha gigih yang dibuat. Rezeki tidak datang bergolek. Menangis mengeluh sahaja tidak berguna.

Ada kalanya kita terlepas pandang. Kita biarkan ahli keluarga kita berusaha sendiri tanpa bantuan. Kita hanya mengaut kesenangan, tetapi mengelak kesusahan. Apa sebabnya? Malu atau bosan dengan keadaan hidup yang tidak menyeronokkan?

Kisah si adik dan si abang ini menyedarkan saya tentang kehidupan. Usahlah kita menjadi parasit dan mementingkan diri dalam masyarakat atau keluarga dengan tidak mahu berusaha atau membantu mereka. Jangan hanya menunggang perit jerih usaha mereka tetapi kita hanya bersenang-lenang sahaja. Sepatutnya kita perlu memberi sokongan dan bantuan kerana berkerjasama itu lebih kuat daripada usaha bersendirian.

Siapakah anda dalam keluarga dan masyarakat? Si adik atau si abang? Tepuk dada tanya selera.

2 comments: