Followers

Thursday, 28 November 2013

Hasad Dengki Merosakkan Cahaya Hati

Allah berfirman yang bermaksud "Katakanlah wahai Muhammad; "Aku berlindung kepada  (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan, dan dari bahaya gelap apabila ia masuk, dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan), dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya" Al-Falaq (Ayat 1-5)

Pernah dengar hasad dengki ada kempen seperti penyakit-penyakit lain? Tidak ada betul? Kita ingin hidup serba cantik, serba sempurna sehingga kadangkala lebih takut parut di muka, garis berkedut berbanding hati yang diselubungi penyakit mazmumah. Sedangkan hati jika dijaga cantik sempurna, maka akan terpantullah cahaya kecantikan dari hati ke wajah kita. Tidak perlu keluarkan duit beribu untuk mencantikkan hati hanya perlu menjaga hati dari penyakit mazmumah. Senang tetapi sukar dibuat. 

Mereka yang mempunyai sifat hasad sebenarnya tersiksa jiwa batin kerana terlalu memikirkan apakah yang tindakan selanjutnya untuk menyakiti hati orang lain. Kehidupannya yang seharusnya indah tetapi tersiksa dan terlalu tertekan kerana hasad terhadap kehidupan indah orang lain. Hatinya tidak pernah tenang dan stabil.

Jiwa memberontak dan sifat marah menguasai diri mereka jika orang lain mendapat nikmat dari Allah. Tetapi mereka akan puas hati dan bersorak seperti kera yang mendapat bunga apabila orang yang disakiti itu termakan hasad mereka. 

Dan setuju atau tidak saya katakan hakikatnya mereka ini melawan takdir dan keputusan Allah SWT. Mereka secara tidak langsung telah mempertikaikan kebijaksanaan dan kasih sayang Allah dalam memberikan nikmat kepada hamba-Nya. Mereka rasakan terlalu bijak dan adil dalam memberikan serta menentukan nikmat kepada manusia. Betul tak?

Dan saya kategorikan mereka sebagai "mental disorder" yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang orang-orang berhampiran dengan mereka. Sungguh merugikan diri sendiri kerana mereka merosakkan cahaya hati mereka sendiri. Bukan itu sahaja malah mereka ini selama-lamanya tidak akan sempurna imannya kerana bersifat kebencian dan sikap bermusuh-musuhan sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencitai dirinya" (Muttafaq 'alaih)

Sifat hasad ini seperti kanser hati yang merebak secara senyap tanpa kita sedari. Dan ia akan semakin parah jika sudah mencapai tahap ke-4. Jika tahapnya semakin parah, tidak mustahil mereka melibatkan agama pula; iaitu SYIRIK! Nauzubillah. Mereka ini sudah tidak takut pada hari kematian kerana berterusan melakukan hasad dan hati mereka semakin jauh menyimpang terhadap kebesaran Allah SWT. 

Dan sebaik-baik ubat untuk penyakit hati ini adalah bertaubat dan mengingati mati. Insyallah ia akan melunturkan dan memadamkan sedikit demi sedikit sifat hasad dalam hati. Perbanyakkanlah berzikir jika dihati terlintas hasad terhadap orang lain. 

Amalkan doa ini setiap kali sembahyang insyallah hati kita akan terhindar dari sifat-sifat mazmumah. 

Doa menghakis sifat hasad: 
Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau wujudkan perasaan hasad dengki dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.' (Surah Al-Hasyri ayat 10)



Wednesday, 20 February 2013

Diam seperti Singa, menyalak seperti Anjing.


Lain orang lain pandangannya. Rambut sahaja sama hitam tetapi tidak semua kata-kata dan pendapat kita boleh diterima orang kerana berbeza-beza pendapat tidak kira pendapat itu fakta atau tidak. Perbezaan pendapat ini bukan perkara baru tetapi memang telah wujud sejak zaman para sahabat lagi kerana manusia dilahirkan dengan akal fikiran yang bebas untuk berfikir dan memberikan pendapat. Tetapi biarlah kena cara teguran jangan diputarbelitkan fakta yang betul hanya kerana kita terlalu mengikutkan emosi. Pasti nanti akan menampakkan kejahilan kita kelak.

Adakala perkara yang betul dan fakta suka diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan perbalahan dan fitnah. Kita pula akan rasa panas hati, bengang, marah, benci dan sebagainya kerana mereka bertelagah menegakkan pendapat masing-masing. Cuba kita boleh gunakan cara dari Imam Syafi'i dan bekas pemimpin Malaysia yang mengamalkan konsep yang sama dalam mengatasi perbalahan terutama dengan mereka yang bertelagah kerana emosi.

Imam Syafi’I berkata :

“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu, tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, karena orang yang jahil itu pasti tidak pernah faham landasan ilmu.”

Bagaimana melayani orang-orang jahil,…
Imam Syafi’I berkata : “ Apabila orang-orang bodoh mengajak bertelagah dengan anda, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak perlu melayaninya.

“ Apabila anda melayani, maka anda akan susah sendiri. Dan bila anda berteman dengannya, maka ia akan selalu menyakitkan hati.. "

“Apabila ada orang berkata kepadaku, Jika diserang oleh musuh, apakah anda diam? Jawabku kepadanya…”sesungguhnya untuk menepis pintu-pintu kejahatan itu ada kuncinya.”

“Sikap diam terhadap orang yang bodoh adalah suatu kemuliaan. Begitu pula diam untuk menjaga kehormatan adalah suatu kebaikan"

“Apakah seekor singa itu digeruni kerana sifatnya yang pendiam lantaran ia pendiam, tetapi seekor anjing sentiasa dibuat permainan kerana sifatnya yang suka menggonggong." 

Begitu juga dengan cara Tun Dr. Mahathir Muhammad. Katanya, "Ada masa diam itu perlu, ada masa bicara itu perlu, tetapi kita seharusnya guna akal fikiran terlebih dahulu bila perlunya diam dan bicara kerana dua perkara tersebut akan beri kesan dan persepsi yg berlainan terhadap si penerima"

Allah berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 63:

"dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka hanya mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan." 

Semoga dapat dimanfaatkan bersama.



Wednesday, 23 January 2013

Penyakit hati


Ramai antara kita tidak kira tinggi atau rendah agamanya,besar atau kecil pangkatnya masih terlalu memandang remeh terhadap kebersihan hati, tidak merasa reda dengan ketetapan qadar dan akhirnya penyakit hati melarat sehingga cenderung terhadap kesenangan orang lain. Sifat hasad, iri hati, dendam tidak akan pernah lekang dari manusia termasuk golongan ulama,golongan bangsawan, golongan cendikiawan. Semuanya gara-gara terlalu cintakan keduniaan.

Lihat sahaja apabila pakaian kita terkena najis, kita merasakan diri kita kotor dan berbau busuk. Terlalu mengambil berat najis yang terkena dipakaian kita tetapi tidak sedar kita masih mengamalkan perangai-perangai yang dilarang oleh Allah. Bergelumang dengan sifat hasad, ujud dan cinta dunia yang terlalu keterlaluan.  Akhirnya ketenangan tidak diperolehi.

Seseorang pernah bertanya kepada Ibnul Jauzy “Manakah yang lebih baik untukku: bertasbih atau beristigfar?Jawapan beliau ”Pakaian yang kotor lebih memerlukan sabun dari wangi-wangian.” Dengan kata erti lain, dalam memperhiasi diri kita dengan pelbagai barangan-barangan berjenama,solekan tebal,aksesori mewah, tetapi hati kita masih hidup dengan sifat dengki,iri hati dan cinta keduniaan, air muka kita tidak akan cantik dan kehidupan tidak akan tenang. Penyakit hati yang semakin parah ditutupkan dengan harta dunia. 

Kita merasakan kesenangan dunia, kekayaan, penghormatan, adalah nikmat dan ketenangan jiwa. Zahirnya memang kita tersenyum tetapi hati sentiasa gelisah memikirkan untuk mencari dan menambah harta dunia. Terlalu asyik dan berlumba-lumba sesama sendiri memikirkan untuk memenuhi keperluan nafsu sehingga sanggup menjatuhkan kawan-kawan yang lain.

Sebenarnya jika kita lihat dengan mata hati kita, kesenangan, penghormatan dan kekayaan dunia ini telah banyak merosakkan jiwa kita. Kerana terlalu asyik mencari dan memenuhi keperluan nafsu dunia, kita lupa tanggungjawab kita terhadap Allah.  Lupa mengucap syukur melalui amalan-amalan kita terhadap nikmat yang diberikan kepada kita.  Semakin kita berjaya dan berkuasa semakin kita lupa mensyukuri nikmat yang kita telah terima. 

Sebenarnya kesenangan yang kita perolehi adalah perangkap hati yang merbahaya.Ia adalah perangkap yang telah memperdayakan hati dengan membiarkan nafsu mengawal akal fikiran maka kita akan mula ingkar terhadap ketentuan dan mengadili semua dugaan yang Allah berikan.  

Ada yang mengatakan “Dia sembahyang tidak tinggal tetapi tetap miskin, tetapi aku tidak sembahyang pun boleh kaya raya” , ada pula yang kata dengan bangga “Aku tidak berzakat tetapi ada sahaja duit masuk, orang lain berzakat rezeki satu sen nak masuk pun susah, jadi kenapa aku perlu kongsi harta aku dengan orang lain melalui zakat”. 

Begitulah kesenangan yang bercampur dengan hasutan syaitan yang telah  memperdayakan kita untuk lebih jauh dari-Nya. Akal fikiran telah dikawal sepenuhnya oleh nafsu. Kesenangan yang diberikan oleh-Nya juga merupakan dugaan tanpa kita sedari.  

Pelbagai bentuk dugaan diberikan untuk memberikan laluan kita mendekatkan diri dan mensyukuri nikmat yang diberi. Tidak kira  samada dugaan itu dari segi kesenangan ataupun kesulitan.  Sekiranya kita leka maka kita akan lebih mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

Kata-kata ini mengingatkan saya pula kepada seorang ustaz ketika mengikuti satu majlis dimasjid. Katanya semakin tinggi dan dekat kita terhadap Allah semakin hebat dugaan yang kita lalui.Pilihan itu terletak kepada diri kita. 

Memang benar kata para ulama, semasa kita cuba membersihkan hati kita, Allah akan memberi dugaan yang terlalu hebat. Ini adalah kerana Dia ingin kita semakin mengingatinya melalui doa-doa kepadanya. Allah juga menghapuskan dosa-dosa kecil dan sifat-sifat yang kotor dalam diri kita melalui dugaan yang diberikan.

Semakin dekat diri kita ke jalan Allah semakin kuat dugaan kita lalui. Jika kita tidak dapat menahan dugaan,kita akan semakin terpesong jauh. Maka ia harus selalu berusaha mengawal diri dalam setiap amalannya. 

Ketika kita diduga ketika mencari keredaan Allah, menjadi lumrah diri akan berada keadaan kebingungan dan tidak berdaya. Teman semakin jauh dan diri mula merasakan panas dan tidak sabar. Ketika ini hasutan syaitan akan mula memainkan peranan.  Kita akan mula terfikir jika tidak bertaubat atau mendekatkan diri kepada Allah kita tidak akan diduga sehebat begini.  

Sebaliknya jika kita leka dan bersahaja, segala permintaan kita akan dapat kita penuhi.  Kita ramai teman bersuka tanpa perlu menghadapi pelbagai dugaan dan suka duka. Diri pula tidak akan diduga sehebat begini. Lantas, kita akan mula mengadili ketentuan Allah dan hati mula terpesong mengikut kehendak syaitan. Maka syaitan akan meraikan kemenangan kerana kita akan semakin terpesong.

Kita diberikan akal yang sempurna untuk berfikir. Sudah menjadi tanggungjawab akal dibebankan untuk memikirkan segala rahsia dugaan tersebut. Carilah rahsia terhadap dugaan yang kita lalui, kita pasti akan redha dan tawakal terhadap kekuasaan Allah.  

Apabila kita memahaminya, kita akan selamat, menerimanya dengan lapang hati serta tidak akan terus terjerumus dengan hasutan syaitan. Segala sifat-sifat kotor dalam diri kita akan mula diperbaiki satu persatu. Hati kita pula mula dibersihkan sedikit demi sedikit melalui amalan yang ikhlas. Lidah kita akan mula terbiasa dengan zikir-zikir Allah.

Rasulullah SAW sendiri mengatakan:

"Orang yang selalu istighfar, Allah akan hilangkan keresahan yg dia rasakan, melapangkan kesempitan yag menimpanya dan akan berikan rezekinya tanpa dia sangkakan." ( HR Baihaqi)

Janji Allah pula. Firmannya:

"maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,  niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan [pula di dalamnya] untukmu sungai-sungai . (Surah Nuh Ayat 10-12.)
Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang senang didunia tetapi tersiksa disana nanti.
Ingatlah terdapat bahaya dalam kesenangan dan kemewahan tetapi terlindung kebahagiaan dalam setiap dugaan. Besederhanalah dalam hidup supaya hati kita tenang didunia dan disana nanti. 


Friday, 28 September 2012

Dendam yang merugikan

Bicara santai tentang manusia dan dendam:

Gembira kerana dendam sudah terbayar. Tetapi kemenangan yang dilihat pada zahir adalah  kekalahan pada batinnya.


Pernahkah kita terfikir perlukah kita membalas semula segala kejahatan dan dendam yang orang lain lakukan kepada kita semata-mata dendam?

Kita mengatakan mereka jahat, kita mengatakan mereka perosak maruah, mereka tabur fitnah dan sebarkan aib kita. Dan kerana itu harus membalas balik tidak kira dalam bentuk apa juga perbuatan agar dendam terbalas. Kita nilaikan mereka jahat, tetapi kita melakukan perkara yang sama. 

Cuba cari apa beza kita dengan mereka?

1. kita manusia mereka juga manusia,
2. kita punya hati dan perasaan, mereka pun ada
3. kita melakukan silap mereka juga ada kesilapan
4. kita ingin disayangi dan menyayangi, mereka pun nak perkara yang sama macam kita
5. kita punya sejarah hitam, mereka juga punya kisah silam
6. kita sakit, mereka pun sakit juga
7. kita tidak pernah lekang dengan dosa walau sekecil hama, mereka pun sama juga.

Jadi di mana beza kita dengan mereka?  Bezanya cara mereka dan cara kita mengendalikan dendam. Adakah kita sama dengan mereka? Mereka tergolong dalam golongan yang merugikan, kita pula?

Mereka boleh hina, boleh hentam kita apa saja dengan kata-kata mereka, mereka boleh khianat kita jika mereka tak suka pada kita, mereka boleh buat apa saja kepada kita.  Ya, siapa kata hati tak sakit, kita tidak menangis kerana perbuatan mereka, kita tidak kecewa dengan perbuatan mereka. tapi perlukah kita rendahkan diri kita seperti mereka dengan membalas sehingga dendam terbayar?

Perasan atau tidak, perasaan dendam adalah satu kerugian. Apa sebenarnya yang kita dapat?


1. Kepuasan? Puas selepas kita juga dapat dosa dan maruah kita serendah mereka?

2. Kemenangan? Memang menang sekarang, tapi kita kalah di hari perhitungan nanti, kalau cepat pun kita   akan dapat 'cash on delivery' di dunia..

3. Kebebasan? Bebas ke sedangkan hati kita masih dalam kongkongan hasutan syaitan.

4. Hati tenang? Tenang ke hati kita jika kita asyik fikir strategi untuk membalas dan ingin tau kesudahannya? selagi tidak kena atau tidak puas selagi itulah kita akan membalas. Hati semakin hitam dan silap-silap terlibat dengan kes polis. Tenangkan nanti dah masuk kes polis?

5. Kita kata mereka jahat? Tapi apa beza kita dengan mereka. kita pun lakukan perkara yang sama mereka lakukan. Mereka dapat dosa, kita pun dapat dosa. Bukan pahala kan?


Kesimpulannya, kerana dendam hati kita tidak tenang, kerana dendam kita tidak pernah rasa erti kesyukuran, kerana dendam hati kita semakin kotor, kerana dendam juga kita semakin jauh dengan Allah tetapi bersahabat karib dengan syaitan, kerana dendam kita juga akan mendapat balasan di dunia dan akhirat nanti.

Siapa yang rugi? Anda ingin berada dalam kerugian?


 

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara agama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu. (Ayat 17 Surah AL Jatsiyah)

Thursday, 31 May 2012

Dapatkan Hak Anda Jika Di Pecat Tanpa Alasan!

Apa itu Pemecatan Kerja Konstruktif (Constructive dismissal): 

  • Pekerja telah di buang kerja tanpa sebab atau alasan yang kukuh. Pekerja tidak menerima sebarang dokumen bertulis mengatakan sebab musabab di buang kerja. 
  • Pekerja yang di larang daripada memasuki premis kerja untuk menjalankan tugas harian oleh pihak majikan
Apakah tindakan anda?

  1. Menghantar surat melalui pos berdaftar (sebagai bukti penghantaran & penerimaan) kepada pihak majikan dari tarikh di buang kerja meminta penjelasan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat tersebut mengapa di buang kerja atau di larang memasuki premis untuk menjalankan tugas harian 
  1. sekiranya pihak majikan tidak membalas secara bertulis selepas 7 hari dari tarikh surat tersebut, maka anda berhak melaporkan hal tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang berhampiran. 
  1. Surat yang di hantar ke majikan beserta kad pengenalan, slip gaji, dan Surat Perlantikan Jawatan hendaklah dibawa bersama ketika membuat laporan di JTK.
Apakah Akta yang membolehkan anda membuat tuntutan faedah anda jika membuat laporan kepada JTK?

Seksyen 69 Akta Kerja 1955:
  • Pekerja yang bergaji tidak melebihi RM2,000 sebulan dan/atau pekerja buruh kasar tanpa had gaji boleh membuat tuntutan di Mahkamah Buruh. 
  • Tuntutan ini melibatkan tuntutan seperti baki gaji, gaji ganti notis, bayaran gaji kerja lebih masa, faedah penamatan serta faedah-faedah lain yang dinyatakan di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan.

Seksyen 69B Akta Kerja1955 Peruntukan Seksyen 69B:
  • membolehkan pekerja yang berpendapatan melebihi RM2,000 hingga RM5,000 sebulan membuat tuntutan di Mahkamah Buruh. 
  • Tuntutan di bawah Seksyen 69B Akta Kerja 1955 ini kebanyakannya adalah melibatkan baki gaji, gaji ganti notis dan bayaran komisyen atau bayaran-bayaran lain sebagaimana yang dinyatakan dalam kontrak perkhidmatan pekerja.
      Apakah faedah tuntutan yang boleh anda kemukakan kepada majikan anda?

      Anda boleh menuntut faedah-faedah seperti di bawah sekiranya layak:
             1.    Gaji ganti notis
       2.    Faedah penamatan kerja
       3.    Baki cuti rehat
       4.    Baki cuti am
       5.    Baki gaji

Bagaimanakah anda membuat pengiraan pemberhentian?  
      
      di bawah Peraturan Kerja 1980 pengiraan pemberhentian adalah seperti berikut: 

Gaji 12 Bulan

365 Hari
X
Tempoh Perkhidmatan

(Bilangan Tempoh Berkhidmat)
X
Kelayakan cuti tahunan

(10/15/20 Hari Setahun)






      Bilakah anda boleh mendapatkan faedah penamatan daripada pihak majikan anda?
      
     Faedah penamatan kerja hendaklah dibayar selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh anda di     
     tamatkan perkhidmatan.


Jangan Biarkan Diri Anda Di Tindas!

Friday, 3 February 2012

Harta Express Harta Free

Firman Allah, Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud “Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim-hakim dengan tujuan supaya kamu dapat memakan sebahagian dari harta orang lain dengan cara yang berdosa, sedangkan kamu mengetahui”

“Saya tak gila harta tapi saya mahukan hak saya kerana itu semua hasil dari titik peluh saya,” tegas Rima setelah semua hartanya diambil oleh bekas suaminya.  

Bahrin menjawab “aku lebih berhak kerana aku adalah bekas ketua keluarga dan semasa menjadi suami kau tanggungjawab aku adalah mencari rezeki”.  Bahrin berkeras dan menafikan hak terhadap harta yang dikumpul oleh Rima semasa menjadi isterinya.

“Saya akan pastikan awak tidak dapat semua harta ini dan kita bertemu di mahkamah,” amaran Bahrin terhadap Rima.

Itulah yang selalu kita dengar. Harta ekspress, harta free siapa yang tidak mahu. Semuanya tidak perlu keluarkan duit, tidak perlu penjamin, tidak perlu pinjaman, tidak perlu memeningkan kepala dan sebagainya

Ada pula yang boleh berbangga dan bermegah-megah dengan hasil titik peluh orang lain. Pada mereka bukan orang tahu pun itu bukan hartanya. Yang penting semua menjadi kepunyaan mereka dalam sekelip mata tanpa melalui susah payah mendapatkannya.

Tak kurang juga ada yang sanggup bermusuhan kerana perebutan harta. Tali persaudaraan diputuskan, ada pula yang sanggup menggunakan perkara-perkara syirik sebagai jalan pintas dek gara-gara ghairah tamakkan harta dan wang ringgit.  Mereka seakan alpa tentang halal haram.

Justeru itu, untuk menjamin pemilikan harta secara adil dan saksama Islam telah menggariskan hukum sebagai panduan tentang semua jenis pembahagian harta. Dan saya ingin berkongsi serba sedikit tentang pemilikan harta yang dinyatakan dalam Qura'an:
1.    Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 29,  yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri”. Ayat ini menerangkan bahawa Islam mengharamkan pengambilan dan memakan harta orang lain dengan secara batil.
2.   Islam mengharamkan kita mendapatkan harta tanpa mengikut hukum syarie seperti merampas, meragut, mencuri dan sebagainya
3.   Untuk mencegah dan menghalang ‘pencerobohan’ terhadap harta hak milik orang  lain, Islam telah menetapkan hukuman balasan atau seksaan yang setimpal dengan kesalahan (uqubat). Contohnya mencuri harta orang lain akan dijatuhkan hukuman potong tangan. 

Seperti yang terkandung dalam Surah Al-Maidah ayat 38 yang bermaksud: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potong lah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah.”

 
4.   Bagi urusan jual beli, Islam menggariskan segala tatacara akad muamalat seperti rukun, syarat dan hukum urusan jual beli yang terkandung dengan jelas dari segenap aspek. Asas jual beli akan sah sekiranya kedua-dua belah pihak redha dan ikhlas.  

Rasulullah saw bersabda “Sesungguhnya jual beli hanya sah dengan cara suka sama suka (antara penjual dan pembeli)

5.      Dalam pada itu juga, para ulama dan fuqaha sangat memainkan peranannya yang amat penting dalam melakukan kajian, penelitian dalam membahaskan semua jenis akad yang umum, sama ada dalam perihal jual beli, upah, gadaian, syarikat dan semua perkara yang berkaitan muamalat dan akad kontrak.
Kesimpulannya, fikir dulu sebelum anda mendapatkan harta ekspress dan harta free. Sudah terbukti jelas bahawa Islam mengharamkan kita mendapatkan harta yang bukan seharusnya milik kita.  Kalau tak dapat balasan didunia nantikan diakhirat la yer…
Wallahuallam…

Thursday, 26 January 2012

Dia Taubat Kita Tambah Dosa


“Siapalah saya untuk menilaikan sebesar mana dosa yang dilakukan oleh Rani, sedangkan dia manusia dan saya juga manusia. Semua manusia buat silap”, kata Zaini bila Arif mengutuk dan menyebarkan aib teman baiknya Rani.  Arif merasa was-was terhadap teman baiknya bila Rani mula berubah dan mula menghampiri kebaikan.

“Apa salahnya kita berikan dia peluang untuk bertaubat. Dia dalam proses bertaubat sedangkan kita pulak sibuk dok mengata dan menyebarkan aib dia. Kalau difikirkan sebenarnya perangai kita lagi teruk dari dia”, tegur Zaini dan kata-kata beliau membuatkan Arif terdiam dan terfikir.

Zaini berpesan “Lebih baik kita menjaga lidah dan hati kita dari berprasangka buruk dan ada sifat was-was terhadap orang lain, kerana satu was-was yang kita lahirkan untuk orang lain, sepuluh orang akan was-was terhadap kita”. 

Inilah dunia sekarang, gemar memperlekehkan jika ada teman kita ingin berubah dan meninggalkan segala maksiat dan perkara yang tidak sihat.  Segala perkara buruk dan negatif yang pernah dilakukan disebarkan kerana was-was tentang perubahan kepada kebaikan.  Dan orang yang tidak tahu hujung pangkal terus buat kesimpulan yang buruk.

Apa yang anda dapat bila berbuat demikian? Anda memperkatakan dosa-dosa teman anda tadi sedangkan anda sendiri berbuat dosa bila menyebarkan aib beliau kepada teman-teman yang lain  Apa kurangnya anda dengan teman anda? Teman anda tadi dalam proses memperbaiki kesilapannya tapi anda pula menambahkan kesilapan dan dosa diri anda sendiri . 

Bertanyalah Nabi S.A.W kepada mereka  "Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu? 
Lalu mereka menjawab "Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Maka sabda Nabi S.A.W  "iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya".  Kemudian Nabi ditanya : bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi? Rasulullah S.A.W menjawab "Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya ( Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e).

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati ? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat, lagi Maha Mengasihani.” Surah al-Hujurat ayat 12.

Renung dan fikirkanlah…

Wednesday, 25 January 2012

Lebih Baik Diam Dari Cakap Poyo


1. “Saya tak suka lah tengok perempuan seksi..meluat dan gedik sangat dorang ni”
Tapi bila lalu perempuan seksi aduhai mata terus bersinar-sinar melekat terus pada subjek tersebut.

2. “Aku sayang bini dan anak-anak aku dan aku takkan buat perkara yang akan melukakan hati mereka”  
Tapi kat luar dok sibuk dengan perempuan sana sini sampai lupa mata yang memandang. Masa ni mulalah si mami jarum  dok jahit sana sini pada kain si bini yang terkoyak. 

3. “Saya ni jenis tak suka jaga tepi kain orang lantak pi la dorang nak buat apa pun”.  
Tapi bila ada topik gosip hangat aduh dia lah mulut macam murai cabut ekor. 

4. “Aku tak kisah harta dunia ni, hidup aku biar sederhana cukup pakai minum dan tempat tinggal”. Tapi kerja siang malam cari duit sampai lupa anak bini ada pula yang sampai lupa 'jalan balik rumah'. 

5. “Aku tak kisah la kalau lelaki tak wujud dalam hidup aku” 
Tapi bila boyfriend tak call setengah hari pun dah macam cacing kepanasan dan mula lah fikir yang bukan-bukan. 

6. “Ala saya kalau tak dijemput ke majlis kahwin dia pun saya tak kecil hati sebab saya ada urusan yang lebih penting lagi” 
Tapi sibuk dok jaja dan bertanya pada semua orang kenapa dia tak dijemput padahal dialah rakan baik. 

7. “Ishk mana boleh saya tak hadir, saya kan orang kanan bos dan tugas saya penting dalam majlis perasmian tu, kalau tak datang nanti apa pulak kata bos nanti”  
Padahal bos dia tak bagi apa-apa pun tugas penting, dia je yang sibuk nak datang untuk dapatkan nama.

8. “Aku memang tak boleh hidup tanpa internet, sebab aku perlu cari bahan dalam melalui internet” 
Padahal bukan cari bahan dok sibuk chit chat dan view gambar-gambar tak senonoh.

Ni la dunia sekarang, pandai cakap tapi cakap semua tak serupa bikin. Lain dimulut lain pula yang dibuatnya. Bila orang hentam sikit, dah menggelabah dan mula naik darah. Padahal diri sendiri yang menafikan perbuatan yang tidak disukai tetapi bila dilihat orang lain pula yang dibuatnya.

Kesimpulannya, lebih baik diam dari berkata-kata kerana setiap kata-kata yang dikeluarkan untuk menafikan perbuatan anda akan menjadi senjata kepada musuh.


“Setiap kata-kata diatas hanyalah pandangan peribadi saya dan tidak ada kena-mengena atau menghentam mana-mana pihak. Sekiranya terdapat persamaan atau berkaitan dengan anda, ianya adalah kebetulan sahaja”  

Friday, 12 August 2011

Haram Hobi Memancing Ikan?

Ada beberapa teman saya mengatakan memancing itu adalah haram. Pada mereka umpan hidup yang digunakan untuk mendapatkan hasil tangkapan melalui memancing dikira menyiksa binatang tersebut. Ini kerana umpan tersebut disangkut hidup-hidup di mata kail yang tajam. Dan ada juga mengatakan mata kail yang tajam dan bercangkuk itu menyiksa ikan itu ketika mencabutnya dari mulut ikan.


Ikan dan seluruh haiwan di bumi ini diperuntukkan Allah S.W.T untuk kita manfaatkan samada melalui daging, susu, tenaga dan sebagainya untuk dijadikan makanan atau dijadikan peliharaan untuk kegiatan harian. Maka untuk mendapatkan haiwan-haiwan ini dan memanfaatnya, aktiviti memburu dijalankan termasuklah mendapatkan ikan. Cuma kaedah berbeza kerana ikan perlu dipancing atau menggunakan pukat atau sebagainya. 


Firman Allah SWT yang bermaksud "Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu, dan bagi orang-orang yang dalam perjalanan; dan diharamkan atasmu (menangkap) binatang buruan laut, selama kamu dalam ihram dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan" (Al Maidah: 96)


Dan kaedah untuk mematikan haiwan buruan juga adalah berbeza. Ikan tidak perlu disembelih kerana secara hakikatnya ikan yang keluar dari habitatnya akan mati tidak kira lama atau sekejap.  Kita tidak disyariatkan untuk menyembelih ikan tetapi diwajibkan keatas haiwan buruan atau ternakan yang lain seperti rusa dan sebagainya dengan cara penyembelihan yang tepat supaya tidak menyiksa binatang itu. 

Maka pemancing tidak dianggap kejam, menyiksakan binatang mahupun dikatakan haram dan berdosa. Ini adalah kerana secara dasarnya pemancing menangkap ikan adalah untuk memanfaatkan dengan mendapatkan sumber protein dan makanan. 


Dan secara umumnya memancing itu adalah aktiviti yang boleh merapatkan silaturahim dan memupuk keharmonian bersama ahli keluarga, teman-teman mungkin juga bersama jiran tetangga. Dimana hasil tangkapan dikongsi bersama selain hobi memancing itu sendiri mampu memberikan ketenangan dan melatih si pemancing agar bersabar. Bukankah itu dituntut Islam dalam diri kita? 


Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada niat pemancing. Jika ia sekadar untuk membuang masa dan terlalu asyik sehingga mengabaikan pekerjaan yang wajib seperti abaikan solat kerana terlalu lama dan asik memancing, lupa akan tanggungjawab kepada ahli keluarganya, serta menjadikan memancing sebagai taruhan (berjudi) maka ia boleh jatuh ke tahap itu.   


Sabda Rasulullah S.A.W daripada Saidina Omar bin Al-Khattab yang bermaksud: " Setiap amalan adalah bergantung kepada niat dan seseorang itu akan menerima ganjaran mengikut niatnya".


Wallahuallam...

Wednesday, 10 August 2011

Petai Untuk Kesihatan

Orang dahulu sering mengambil ulam sebagai sayuran dalam menu hidangan mereka. Pada mereka, khasiat ulam dapat dikekalkan dan tidak tercemar kerana tidak perlu dimasak untuk dijadikan santapan. Dan ulam juga dikaitrapatkan dengan kesihatan.

Begitu juga dengan petai yang selalu dijadikan ulam dalam menu santapan. Ada juga dijadikan jeruk ataupun campuran dalam masakan seperti sambal petai udang. Meskipun petai menghasilkan bau kepada si pemakannya, tapi khasiat petai amat berguna kepada pesakit kencing manis, darah tinggi, anemia, dan kegemukkan. 

Berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain. Selain itu juga ia mengandungi klorofil, kalium, karborhidrat, air, kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A, B1, B2, B6, B12, dan C serta Tryptohan.

Khasiat untuk pengamalnya: 

Agen antioksidan: 
Kandungan klorofil dalam biji petai berfungsi sebagai agen antioksidan yang baik untuk kulit dan mampu memperbaiki sistem penghadaman bagi pengamalnya. 

Mengurangkan masalah darah tinggi dan strok: 
Kandungan kalium dalam petai dengan kandungan rendah garamnya sesuai untuk menurunkan tekanan darah tinggi dan secara tidak langsung ia boleh mengurangi risiko strok

Mengatasi anemia: 
Bagi mereka yang mengalami anemia, kandungan zat besi dalam petai mampu mengatasi masalah mereka. 

Mengurangkan masalah kencing manis: 
Kandungan Vitamin B6 dalam petai dapat membantu mengawal paras gula dalam darah untuk pesakit kencing manis.

Kemurungan:  
Petai juga mengandungi Trytophan, yang mampu mengawal tekanan seseorang, trytophan dapat bertukar kepada serotonin dimana dapat menjadikan orang lebih relaks, gembira dan menjadi emosi lebih stabil.

Sembelit:  
Petai mengandungi serat tumbuhan yang baik bagi penghadaman dan dapat mengelakkan gejala sembelit dari mudah berlaku

Mabuk: 
Ada petua yang menyatakan dan dipercayai bahawa adunan petai bersama susu dan madu dapat mengurangkan masalah mabuk, kerana herba petai, madu dan susu dapat memperbaiki aras glukosa dan mengembalikan aras cecair badan ke tahap seimbang

PMS:  
Khasiat vitamin B6 dalam petai juga membantu wanita yang mengalami kebingungan tatkal mendapat sindrom premenstrual.

Gigitan nyamuk: 
Petua orang lama ada mengatakan bahawa kulit papan petai yang dibahagian licin dalam poket biji petai juga boleh digunakan untuk merawat gigitan nyamuk. Kulit papan petai tersebut boleh disapukan pada bahagian bengkak atau kemerahan-merahan di kulit disebabkan oleh gigitan nyamuk.

Perokok: 
Kandungan Vitamin B6 dan B12 serta kalium dan magnesium dapat membantu dalam mengatasi kesan langsung akibat pemberhentian pengambilan nikotin oleh para perokok. 


Bagaimana? Yang mengalami masalah kesihatan mungkin boleh mencuba. Yang buruk dan pahit itu penawar. 

Friday, 5 August 2011

Anak Syurga Dunia


Penat lelah seharian hilang setelah melihat senyuman si anak yang masih bertatih jalan lagi. Rumahku adalah syurgaku kerana adanya si anak penglipur lara. Kehadiran si anak memberikan ruang rezeki padaku dan menyedarkan aku tentang nikmat hidup serta tanggungjawab.

Namun ada diantara mereka sering mentafsirkan si anak adalah beban dalam melaksanakan kerja-kerja seharian. Pelik tapi itulah dunia sekarang. 

Ada yang merungut letih ke hulu hilir melayani kerenah anak-anak, ada yang marah bila si anak bergurau senda, dan ada pula yang melepaskan tekanan terhadap si anak kerana pulang dengan kecewa apabila kehendak dan keinginan mereka tidak tercapai.

Kata-kata dan keinginan serta janji sebelum dan selepas dikurniakan anak ternyata berbeza. Sebelum dikurniakan, terlalu menantikan kehadiran si anak. Tapi selepas dikurniakan, sekejap sahaja belaiannya.  

Setelah usia anak mula meningkat segalanya diabaikan. Segalanya alasan diberikan bila si anak memerlukan belaian kasih dan sayang. Silap kata padahlah si anak dapat. Pejabat dan aktiviti sosial dijadikan alasan perlukan ketenangan dan privasi. Rumah menjadi tempat tidur gara-gara kerenah si anak yang sudah pandai bermain-main. 

Mulalah salahkan si isteri kerana tidak pandai mendidik anak. Si anak pula mendapat hadiah 'herdikan dan pukulan' kerana dikatakan tidak menyusahkan serta tidak memberikan ketenangan. Rumah seakan neraka dirasakannya.

Persoalannya:

Anak merupakan anugerah kurniaan Allah dan secara fitrahnya pasangan yang sudah berumahtangga berhajatnya. Mereka sentiasa menginginkan dan mengharapkan kurniaan ini. 

Dan dalam dalam apa jua agama pun memahami betapa bernilainya kurniaan ini. Akan tetapi segelintir mereka yang tidak memahami kurniaan dan tanggungjawab ini, maka peranan tidak dapat dilaksanakan dan anak-anak tidak mendapat hak kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. 


1. Mahukan anak, sudah diberi, tapi kenapa pula tidak dihargai?

2. Apakah tugas mendidik anak itu adalah tanggungjawab si isteri semata-mata? Bagaimana pula tugas mencari rezeki, kerana zaman sekarang terlalu sedikit si isteri yang tidak keluar bekerja kalau tidak ke pejabat pasti bekerja secara 'online'?

3. Apakah si anak yang umurnya baru tidak sampai setahun jagung tahu tentang hidup; mereka dibanting, didera, dipijak kerana semua tekanan hidup yang dihadapi si bapa?

Adakah anda tergolong antara mereka yang tidak tahu menilai kurniaan ini?

Sunday, 24 July 2011

Gaji 4 Angka Tak Cukup Untuk Parasit

"Pening la kepala aku..gaji bulan ni tak cukup..mana nak beli keperluan anak-anak aku..nak beli barang dapur..nak bayar duit kereta, rumah..dah la nak bulan puasa ni,” rungut si Fakim (bukan nama sebenar).

“Aik gaji dah cecah 4 angka pun masih tak cukup lagi? Isteri kamu kerja pun hampir cecah 4 angka gajinya, apa yang tak cukup lagi?” tanya si Malin (bukan nama sebenar) dengan penuh kehairanan.

Itulah kehidupan si Fakim. Walaupun suami isteri berpendapatan hampir mencecah RM10,000  masih tidak mencukupi.

Anak baru dua dan masih kecil, belanja keperluan dapur dan lain-lain hanya untuk 4 orang, bayaran pinjaman kereta dan rumah kecil kerana menggunakan kemudahan pinjaman yang kerajaan berikan. Itupun kalau dikira jumlah perbelanjaan semua masih ada lagi separuh gaji mereka tapi masih dikatakan belum mencukupi.

Setiap hari merungut perlu dinaikkan gaji kerana dibebankan dengan kerja yang melambak. Tapi sebagai pekerja yang ingin gaji dinaikkan rutin beliau setiap hari bekerja ialah:

1)      masuk lewat hampir jam 9 pagi. Jika lambat alasan pelbagai alasan diberikan
2)      10.00 pagi: keluar makan sarapan dan masuk semula hampir 12.00 tengahari. Kemudian berbual dan selak-selak fail sementara menunggu waktu keluar makan tengahari.
3)      12.15 tengahari: keluar makan tengahari dan masuk semula hampir 2.30 petang. Kemudian layari internet dan mula main facebook
4)      3.30 petang: keluar minum petang dan masuk semula hampir jam 5 petang. Kemudian buat kerja sambil berbual untuk menunggu masa pulang.
5)  5.00 petang: balik 

Persoalan untuk renungan:

1)      Dari 8 jam waktu bekerja, berapa jam yang Fakim peruntukkan untuk membuat dan menghasilkan kerja pejabat yang sempurna yang berbaloi dengan gaji 4 angka Fakim?

2)      Berbaloikah Fakim dinaikkan gaji sedangkan gaji beliau sudah mencecah 4 angka semata-mata perbelanjaan bulanannya sekeluarga tidak mencukupi?

3)      Apakah keuntungan yang telah Fakim berikan kepada majikan dan syarikat tempat beliau bekerja?

4)      Sedarkah Fakim bahawa beliau bagaikan parasit disyarikat beliau bekerja? Ini kerana beliau bekerja hanya untuk dibayar gaji semata-mata aktiviti makan, minum, berinternet dan berborak tanpa memberikan keuntungan kepada syarikat langsung. Malah perbuatan beliau ini tanpa disedari  mengundang pelbagai masalah kepada syarikat dan rakan sekerja yang lain.

5)      Tidak sedarkah Fakim gaji yang beliau terima dari aktiviti ‘sukahati’nya diberikan kepada isteri dan anak-anaknya? Dimana datangnya berkat hidup dan nikmat gaji jika ia datang dari hasil titik peluh aktiviti ‘sukahati' beliau?

Tapi diluar sana, ramai yang berpendapatan rendah tapi masih mampu dan puas membeli serta cukup segala minum pakai. Ini kerana mereka mendapat kepuasan dari hasil titik peluh mereka yang datangnya dari kerja yang betul-betul sempurna dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Tidak perlu risau dan tidak perlu merungut setiap bulan.

Adakah anda seperti Fakim? Ingin menjadi Parasit di tempat kerja? Menjadi ketua keluarga yang menyara isteri dan anak-anak hasil dari titik peluk aktiviti 'sukahati'nya dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari?

Renungkan dan fikir-fikirkan..berikan nikmat kepuasan yang tak terhingga dari gaji yang anda perolehi kepada kehidupan anda sekeluarga walau gaji hanya RM800 sebulan sahaja.


”Katakanlah, ‘Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya).’ Dan barang apa saja yang kamu infakkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki"

Tuesday, 5 July 2011

Melayu Kian Hilang Dibumi Sendiri

"Harga lot bumiputera dan lot internasional sama saja kak. Bezanya harga lot internasional tinggi sedikit dari lot bumiputera tapi bila diberikan pelbagai diskaun harganya sama seperti harga bumiputera." jawab ringkas si penjual bila ditanyakan harga lot bumiputera dan lot internasional.

Jelasnya lagi, "Harga bumiputera telah ditetapkan diskaun oleh kerajaan tapi pihak pemaju kami memberikan diskaun juga jika akak membeli lot internasional. Jadi perbezaan harga adalah lebih kurang dalam RM2000 hingga RM5000 saja kak".

Terkedu bila mendengar penjelasan wakil penjual salah sebuah pemaju terkenal di Johor Bahru. Tanpa sedar hak bumiputera kita telah dipermainkan oleh pihak pemaju demi mengaut keuntungan. 

Dalam hal sebegini mereka mengambil kesempatan kerana melihat bangsa kita sendiri sibuk bertelingkah sesama sendiri. Sana salahkan yang sini..yang sini pula menunding jari di pihak yang sana.  Tapi kita semua masih tak sedar lagi yang hak kita semakin lama semakin hilang gara-gara sikap kita sendiri

Sedarlah wahai bangsaku..bersatulah. Jika kita semua bersatu bangsa lain juga tidak akan berani mempertikaikan dan memperalatkan diri kita. Kerana perpecahan kita, mereka dapat mengaut keuntungan dan kepentingan diri mereka dari perbalahan sesama kita sendiri.

Ini baru sedikit. Tapi jika kita masih leka dan biarkan diri kita diperalatkan, mahukah semua hak yang telah kita perjuangkan dulu tergadai semula?

Inginkah generasi bangsa kita dijajah kerana kealpaan dan sikap kita sendiri? 

Inginkah anak-anak kita mengemis demi sesuap nasi kerana hilangnya hak kita di bumi yang telah kita selamatkan dahulu dari jajahan British dan Jepun?

Fikir dan renungkan. Nasib Melayu ditangan kita sendiri.