Followers

Friday 5 August 2011

Anak Syurga Dunia


Penat lelah seharian hilang setelah melihat senyuman si anak yang masih bertatih jalan lagi. Rumahku adalah syurgaku kerana adanya si anak penglipur lara. Kehadiran si anak memberikan ruang rezeki padaku dan menyedarkan aku tentang nikmat hidup serta tanggungjawab.

Namun ada diantara mereka sering mentafsirkan si anak adalah beban dalam melaksanakan kerja-kerja seharian. Pelik tapi itulah dunia sekarang. 

Ada yang merungut letih ke hulu hilir melayani kerenah anak-anak, ada yang marah bila si anak bergurau senda, dan ada pula yang melepaskan tekanan terhadap si anak kerana pulang dengan kecewa apabila kehendak dan keinginan mereka tidak tercapai.

Kata-kata dan keinginan serta janji sebelum dan selepas dikurniakan anak ternyata berbeza. Sebelum dikurniakan, terlalu menantikan kehadiran si anak. Tapi selepas dikurniakan, sekejap sahaja belaiannya.  

Setelah usia anak mula meningkat segalanya diabaikan. Segalanya alasan diberikan bila si anak memerlukan belaian kasih dan sayang. Silap kata padahlah si anak dapat. Pejabat dan aktiviti sosial dijadikan alasan perlukan ketenangan dan privasi. Rumah menjadi tempat tidur gara-gara kerenah si anak yang sudah pandai bermain-main. 

Mulalah salahkan si isteri kerana tidak pandai mendidik anak. Si anak pula mendapat hadiah 'herdikan dan pukulan' kerana dikatakan tidak menyusahkan serta tidak memberikan ketenangan. Rumah seakan neraka dirasakannya.

Persoalannya:

Anak merupakan anugerah kurniaan Allah dan secara fitrahnya pasangan yang sudah berumahtangga berhajatnya. Mereka sentiasa menginginkan dan mengharapkan kurniaan ini. 

Dan dalam dalam apa jua agama pun memahami betapa bernilainya kurniaan ini. Akan tetapi segelintir mereka yang tidak memahami kurniaan dan tanggungjawab ini, maka peranan tidak dapat dilaksanakan dan anak-anak tidak mendapat hak kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya. 


1. Mahukan anak, sudah diberi, tapi kenapa pula tidak dihargai?

2. Apakah tugas mendidik anak itu adalah tanggungjawab si isteri semata-mata? Bagaimana pula tugas mencari rezeki, kerana zaman sekarang terlalu sedikit si isteri yang tidak keluar bekerja kalau tidak ke pejabat pasti bekerja secara 'online'?

3. Apakah si anak yang umurnya baru tidak sampai setahun jagung tahu tentang hidup; mereka dibanting, didera, dipijak kerana semua tekanan hidup yang dihadapi si bapa?

Adakah anda tergolong antara mereka yang tidak tahu menilai kurniaan ini?

No comments:

Post a Comment