Followers

Wednesday 23 January 2013

Penyakit hati


Ramai antara kita tidak kira tinggi atau rendah agamanya,besar atau kecil pangkatnya masih terlalu memandang remeh terhadap kebersihan hati, tidak merasa reda dengan ketetapan qadar dan akhirnya penyakit hati melarat sehingga cenderung terhadap kesenangan orang lain. Sifat hasad, iri hati, dendam tidak akan pernah lekang dari manusia termasuk golongan ulama,golongan bangsawan, golongan cendikiawan. Semuanya gara-gara terlalu cintakan keduniaan.

Lihat sahaja apabila pakaian kita terkena najis, kita merasakan diri kita kotor dan berbau busuk. Terlalu mengambil berat najis yang terkena dipakaian kita tetapi tidak sedar kita masih mengamalkan perangai-perangai yang dilarang oleh Allah. Bergelumang dengan sifat hasad, ujud dan cinta dunia yang terlalu keterlaluan.  Akhirnya ketenangan tidak diperolehi.

Seseorang pernah bertanya kepada Ibnul Jauzy “Manakah yang lebih baik untukku: bertasbih atau beristigfar?Jawapan beliau ”Pakaian yang kotor lebih memerlukan sabun dari wangi-wangian.” Dengan kata erti lain, dalam memperhiasi diri kita dengan pelbagai barangan-barangan berjenama,solekan tebal,aksesori mewah, tetapi hati kita masih hidup dengan sifat dengki,iri hati dan cinta keduniaan, air muka kita tidak akan cantik dan kehidupan tidak akan tenang. Penyakit hati yang semakin parah ditutupkan dengan harta dunia. 

Kita merasakan kesenangan dunia, kekayaan, penghormatan, adalah nikmat dan ketenangan jiwa. Zahirnya memang kita tersenyum tetapi hati sentiasa gelisah memikirkan untuk mencari dan menambah harta dunia. Terlalu asyik dan berlumba-lumba sesama sendiri memikirkan untuk memenuhi keperluan nafsu sehingga sanggup menjatuhkan kawan-kawan yang lain.

Sebenarnya jika kita lihat dengan mata hati kita, kesenangan, penghormatan dan kekayaan dunia ini telah banyak merosakkan jiwa kita. Kerana terlalu asyik mencari dan memenuhi keperluan nafsu dunia, kita lupa tanggungjawab kita terhadap Allah.  Lupa mengucap syukur melalui amalan-amalan kita terhadap nikmat yang diberikan kepada kita.  Semakin kita berjaya dan berkuasa semakin kita lupa mensyukuri nikmat yang kita telah terima. 

Sebenarnya kesenangan yang kita perolehi adalah perangkap hati yang merbahaya.Ia adalah perangkap yang telah memperdayakan hati dengan membiarkan nafsu mengawal akal fikiran maka kita akan mula ingkar terhadap ketentuan dan mengadili semua dugaan yang Allah berikan.  

Ada yang mengatakan “Dia sembahyang tidak tinggal tetapi tetap miskin, tetapi aku tidak sembahyang pun boleh kaya raya” , ada pula yang kata dengan bangga “Aku tidak berzakat tetapi ada sahaja duit masuk, orang lain berzakat rezeki satu sen nak masuk pun susah, jadi kenapa aku perlu kongsi harta aku dengan orang lain melalui zakat”. 

Begitulah kesenangan yang bercampur dengan hasutan syaitan yang telah  memperdayakan kita untuk lebih jauh dari-Nya. Akal fikiran telah dikawal sepenuhnya oleh nafsu. Kesenangan yang diberikan oleh-Nya juga merupakan dugaan tanpa kita sedari.  

Pelbagai bentuk dugaan diberikan untuk memberikan laluan kita mendekatkan diri dan mensyukuri nikmat yang diberi. Tidak kira  samada dugaan itu dari segi kesenangan ataupun kesulitan.  Sekiranya kita leka maka kita akan lebih mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.

Kata-kata ini mengingatkan saya pula kepada seorang ustaz ketika mengikuti satu majlis dimasjid. Katanya semakin tinggi dan dekat kita terhadap Allah semakin hebat dugaan yang kita lalui.Pilihan itu terletak kepada diri kita. 

Memang benar kata para ulama, semasa kita cuba membersihkan hati kita, Allah akan memberi dugaan yang terlalu hebat. Ini adalah kerana Dia ingin kita semakin mengingatinya melalui doa-doa kepadanya. Allah juga menghapuskan dosa-dosa kecil dan sifat-sifat yang kotor dalam diri kita melalui dugaan yang diberikan.

Semakin dekat diri kita ke jalan Allah semakin kuat dugaan kita lalui. Jika kita tidak dapat menahan dugaan,kita akan semakin terpesong jauh. Maka ia harus selalu berusaha mengawal diri dalam setiap amalannya. 

Ketika kita diduga ketika mencari keredaan Allah, menjadi lumrah diri akan berada keadaan kebingungan dan tidak berdaya. Teman semakin jauh dan diri mula merasakan panas dan tidak sabar. Ketika ini hasutan syaitan akan mula memainkan peranan.  Kita akan mula terfikir jika tidak bertaubat atau mendekatkan diri kepada Allah kita tidak akan diduga sehebat begini.  

Sebaliknya jika kita leka dan bersahaja, segala permintaan kita akan dapat kita penuhi.  Kita ramai teman bersuka tanpa perlu menghadapi pelbagai dugaan dan suka duka. Diri pula tidak akan diduga sehebat begini. Lantas, kita akan mula mengadili ketentuan Allah dan hati mula terpesong mengikut kehendak syaitan. Maka syaitan akan meraikan kemenangan kerana kita akan semakin terpesong.

Kita diberikan akal yang sempurna untuk berfikir. Sudah menjadi tanggungjawab akal dibebankan untuk memikirkan segala rahsia dugaan tersebut. Carilah rahsia terhadap dugaan yang kita lalui, kita pasti akan redha dan tawakal terhadap kekuasaan Allah.  

Apabila kita memahaminya, kita akan selamat, menerimanya dengan lapang hati serta tidak akan terus terjerumus dengan hasutan syaitan. Segala sifat-sifat kotor dalam diri kita akan mula diperbaiki satu persatu. Hati kita pula mula dibersihkan sedikit demi sedikit melalui amalan yang ikhlas. Lidah kita akan mula terbiasa dengan zikir-zikir Allah.

Rasulullah SAW sendiri mengatakan:

"Orang yang selalu istighfar, Allah akan hilangkan keresahan yg dia rasakan, melapangkan kesempitan yag menimpanya dan akan berikan rezekinya tanpa dia sangkakan." ( HR Baihaqi)

Janji Allah pula. Firmannya:

"maka aku katakan kepada mereka: “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,  niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan [pula di dalamnya] untukmu sungai-sungai . (Surah Nuh Ayat 10-12.)
Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang senang didunia tetapi tersiksa disana nanti.
Ingatlah terdapat bahaya dalam kesenangan dan kemewahan tetapi terlindung kebahagiaan dalam setiap dugaan. Besederhanalah dalam hidup supaya hati kita tenang didunia dan disana nanti. 


No comments:

Post a Comment