Followers

Thursday, 28 November 2013

Hasad Dengki Merosakkan Cahaya Hati

Allah berfirman yang bermaksud "Katakanlah wahai Muhammad; "Aku berlindung kepada  (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan, dan dari bahaya gelap apabila ia masuk, dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan), dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya" Al-Falaq (Ayat 1-5)

Pernah dengar hasad dengki ada kempen seperti penyakit-penyakit lain? Tidak ada betul? Kita ingin hidup serba cantik, serba sempurna sehingga kadangkala lebih takut parut di muka, garis berkedut berbanding hati yang diselubungi penyakit mazmumah. Sedangkan hati jika dijaga cantik sempurna, maka akan terpantullah cahaya kecantikan dari hati ke wajah kita. Tidak perlu keluarkan duit beribu untuk mencantikkan hati hanya perlu menjaga hati dari penyakit mazmumah. Senang tetapi sukar dibuat. 

Mereka yang mempunyai sifat hasad sebenarnya tersiksa jiwa batin kerana terlalu memikirkan apakah yang tindakan selanjutnya untuk menyakiti hati orang lain. Kehidupannya yang seharusnya indah tetapi tersiksa dan terlalu tertekan kerana hasad terhadap kehidupan indah orang lain. Hatinya tidak pernah tenang dan stabil.

Jiwa memberontak dan sifat marah menguasai diri mereka jika orang lain mendapat nikmat dari Allah. Tetapi mereka akan puas hati dan bersorak seperti kera yang mendapat bunga apabila orang yang disakiti itu termakan hasad mereka. 

Dan setuju atau tidak saya katakan hakikatnya mereka ini melawan takdir dan keputusan Allah SWT. Mereka secara tidak langsung telah mempertikaikan kebijaksanaan dan kasih sayang Allah dalam memberikan nikmat kepada hamba-Nya. Mereka rasakan terlalu bijak dan adil dalam memberikan serta menentukan nikmat kepada manusia. Betul tak?

Dan saya kategorikan mereka sebagai "mental disorder" yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang orang-orang berhampiran dengan mereka. Sungguh merugikan diri sendiri kerana mereka merosakkan cahaya hati mereka sendiri. Bukan itu sahaja malah mereka ini selama-lamanya tidak akan sempurna imannya kerana bersifat kebencian dan sikap bermusuh-musuhan sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak sempurna iman salah seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencitai dirinya" (Muttafaq 'alaih)

Sifat hasad ini seperti kanser hati yang merebak secara senyap tanpa kita sedari. Dan ia akan semakin parah jika sudah mencapai tahap ke-4. Jika tahapnya semakin parah, tidak mustahil mereka melibatkan agama pula; iaitu SYIRIK! Nauzubillah. Mereka ini sudah tidak takut pada hari kematian kerana berterusan melakukan hasad dan hati mereka semakin jauh menyimpang terhadap kebesaran Allah SWT. 

Dan sebaik-baik ubat untuk penyakit hati ini adalah bertaubat dan mengingati mati. Insyallah ia akan melunturkan dan memadamkan sedikit demi sedikit sifat hasad dalam hati. Perbanyakkanlah berzikir jika dihati terlintas hasad terhadap orang lain. 

Amalkan doa ini setiap kali sembahyang insyallah hati kita akan terhindar dari sifat-sifat mazmumah. 

Doa menghakis sifat hasad: 
Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami, dan janganlah Engkau wujudkan perasaan hasad dengki dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.' (Surah Al-Hasyri ayat 10)